Followers

30 Mei 2010

Cinta Langit Dan Laut

Dahulukala, langit dan laut saling jatuh cinta. Mereka saling menyukai antara satu sama lain. Oleh sebab sangat sukanya laut kepada langit, warna laut sama dengan warna langit. Oleh sebab sangat sukanya langit kepada laut, warna langit sama dengan warna laut.

Setiap senja datang, si laut dengan lembut sekali membisikkan kata-kata ‘aku cinta padamu’ ke telinga langit. Setiap kali si langit mendengar penuh cinta laut, langit tidak menjawab apa-apa, hanya tersipu-sipu malu, wajahnya kemerah-merahan. Suatu hari,datang awan..

Begitu melihat kecantikan si langit, awan seketika itu juga jatuh hati terhadap langit. Tentu sahaja langit hanya mencintai laut, setiap hari hanya melihat laut sahaja. Awan sedih, namun tidak berputus asa, mencari cara dan akhirnya mendapat akal. Awan mengembangkan dirinya sebesar mungkin dan menyusup ketengah-tengah langit dan laut, menghalang pandangan langit dan laut terhadap satu sama lain.

Laut berasa marah kerana tidak dapat melihat langit, sehingga dengan gelombangnya laut berusaha mengusir awan yang mengganggu pandangannya. Tetapi, tentu sahaja tidak berhasil. Lalu datanglah angin yang sejak dulu mengetahui hubungan laut dan langit. Angin rasa harus membantu mereka menyingkirkan awan yang mengganggu.

Dengan tiupan yang keras dan kuat, angin meniup awan. Awan terpecah-pecah menjadi banyak bahagian, sehingga tidak berupaya lagi melihat langit dengan jelas, tidak berupaya lagi mengungkapkan perasaan terhadap langit. Kerana berasa tersiksa dengan perasaan cintanya mengunung tinggi terhadap langit, awan menangis sedih.

Hinggalah sekarang, kasih antara langit dan laut tidak terpisah. Kita juga boleh melihat di mana mereka menjalin kasih. Setiap kali memandang ke hujung laut, di mana ada satu garis di antara laut dan langit, di situlah mereka berpacaran.

28 Mei 2010

Cincin Buatmu, Qaseh

Hari ni genap dua tahun pengenalan ku dengan seorang puteri bernama Qaseh. Pengenalan kami bermula dengan tulisan, melalui tulisan aku dan dia bercinta, melalui tulisan aku peroleh semangat darinya. Qaseh ku anggap seperti puteri khayalan dalam hidupku. Tidak pernah ku bersua-muka dengannya walaupun sekali. Namun, kata-kata yang sering ditulisnya membuktikan kepadaku bahawa Qaseh adalah seorang wanita yang baik budi perkertinya. Bahasanya yang indah menyebabkan aku tertarik padanya.

"Kawan Wan tu nama apa?, kalau boleh ibu nak berkenalan lah dengan dia".
"Nama dia Qaseh".
"Dia orang kelantan jugak bu, keluarga dia tinggal dekat tanah merah".
"Oo..orang kelantan, bila Wan nak bawa Qaseh datang ke rumah kita".

Aku hanya tersenyum setibanya soalan itu ditanya ibu kesayanganku. Aku sendiri tidak pernah bersua muka dengan Qaseh, bagaimana untuk aku ingin mengundangnya ke teratak ibuku ini. Umurku semakin lama semakin meningkat, begitu juga Qaseh. Rasa dihati ingin menjadikan Qaseh sebagai teman hidup ku, sehidup semati.

Sejurus pertanyaan yang diwar-warkan ibuku petang tadi, fikiranku mula memikirkan cara lain untuk berhubung dengan puteri khayalanku. Terdetik di hati aku ini untuk meminta number telefonnya.

"Aku mesti beranikan diri untuk meminta number telefon Qaseh".suara hatiku mula berbicara.

Melalui yahoo messenger aku mem "buzz" Qaseh.

Wan : Assalamulaikum.
Qaseh: Waalaikum salam.
Wan : Qaseh sehat?.
Qaseh: Alhamdulillah.sehat, wan macam mana?.
Wan : Alhamdulillah wan pun sehat.
Qaseh! wan ada hajat ni,
Qaseh: Apa dia hajat wan hari ini?.
Wan : Wan nak mintak number telefon Qaseh boleh tak?.
Qaseh: Hurm, untuk ape?.
Wan : wan berkenalan dengan Qaseh dah lebih kurang 2 tahun,
Wan ingat nak lebih kenali Qaseh.
Sebelum ni pun wan dah bagi tahu yang wan suka kan Qaseh.
Qaseh: ni number Qaseh 010-0011001.
Wan : ok terima kasih Qaseh, Insyallah, nanti wan call yer.
Qaseh: wan, kita sambung lain kali, Qaseh ada kerja sikit sekarang.
Wan : okey, nanti kita sambung lagi yer. Assalamualaikum.
Qaseh: waalaikum salam.

Akhirnya aku berjaya untuk mendapatkan number telefon Qaseh, hati ini bagaikan menari-nari keriangan. Selepas 2 tahun pengenalan, hari ini baru ku dapat peluang untuk berbicara dengan Qaseh melalui percakapan. Namun bukan niat ku untuk bergayut siang malam bersamanya tetapi hanya sekadar untuk lebih mengenali dirinya.


**************************


Sudah seminggu berlalu, namun number yang diminta masih lagi belum di hubungi, aku merasa segan dan malu untuk menelefon, kerana kami tidak pernah bercakap melalui telefon. Aku berasa bingung dan hairan dengan keadaan ku yang sebegini. Kenapa diri ini menjadi gementar untuk menelefon Qaseh.


"kalau aku tak telefon, macam mana aku nak kenal Qaseh?". Kata suara hati ku yang merayu-rayu supaya membuat panggilan.

Jari-jari ku mula memetik punat yang berada di telefon bimbit ku, perasaan gemuruh mula mendatangi dan menyelubungi fikiranku.

"tut tut…tut tut..".

"Assalamulaikum. Boleh saya bercakap dengan Qaseh".
"waalaikum salam, ya, ni Qaseh yang bercakap ni, siapa ni?".
"ni wan". Jawab aku dengan suara sedikit gagap.
"oh wan, kenapa wan baru telefon?.
"hahaha,wan sebenarnya segan nak telefon Qaseh, mana la tahu Qaseh tak jawab panggilan wan". Gementer ku mula lenyap setibanya Qaseh menerima panggilan ku dengan baik.

Walaupun kami mula berhubung melalui telefon namun kami tetap menggunakan yahoo messegger sebagai penghubunng kerana di situlah bermula cinta kami. Hidup ku makin ceria dan sentiasa gembira selalu. Sesekali aku menulis puisi dan menghantarnya kepada Qaseh. Begitu juga sebaliknya, Qaseh akan membalas dengan bait-bait cinta indah kepada ku.

Cinta yang datang bagaikan bulan
Menjadi teman dimalam hari
Bintang dilangit ku jadikan pedoman
Agar cinta kita tetap bersemi

Cinta kita tidak pernah berkata-kata
serta tidak pula mempunyai suara
hanya pena menjadi tukang kata
penghibur tika duka dan lara


*********************

Makin lama makin sayang, walaupun sudah 4 bulan kami berhubung melalui telefon namun baru hari ini terdetik di hati ku untuk bertemu dengan puteri khayalan ku. Aku membuat permohonan kepada Qaseh untuk bertemu dengannya. Qaseh meletakkan beberapa syarat kepada ku jika ingin bertemu dengannya.

"Pertama, kalau wan nak jumpa Qaseh boleh, tapi kena la datang rumah Qaseh".
"Kedua, wan kena berkenalan dengan ibu dan ayah Qaseh".
"Ketiga, Wan kena makan malam dengan keluarga Qaseh".

"wan setuju, Insyallah, wan akan jumpa malam jumaat ni".kata ku kepada Qaseh.

Aku sememangnya ingin berjumpa dengan keluarga Qaseh lebih mengenali Qaseh. Sesekali bermain di minda ku menanyakan siapakah Qaseh sebenarnya. Bagaimana latar belakang keluarganya, adakah dia orang dari golongan hartawan atau sebaliknya. Jika Qaseh berkuturan hartawan mungkin aku dan dia tidak sekupu, namun pemikiran kuno ku tidak tolak mentah-mentah oleh jiwa sanubari ku. Sekarang ini bukan lagi zaman dua darjat, zaman sekarang orang lebih mendahuluikan agama dari segala-galanya.


**********************

Aku tiba di hadapan rumah Qaseh berdasarkan alamat yang diberikan kepada ku. Alangkah terkejut nya aku, rumahnya besar bagaikan istana khayalan, di penuhi dengan kereta-kerata mewah dan megah. Terpajak dua orang pengawal keselamtan bagaikan patung hidup.

"Ish, aku silap alamat ke ni". Bisik hati ini sejurus melihat keadaan rumah yang sebegitu rupa.

Tiba-tiba keluar seorang gadis berpakaian serba putih serta mukanya di tutupi dengan purdah yang berkilauan datang menghampiriku. Mata ku terkebil-kebil melihatnya.

"Assalamualaikum".
"walaikum salam. Wan ke ni".tanya gadis itu.
"ya, saya wan, kawan Qaseh".
"saya Qaseh, jemput masuk".

Kaki aku seperti disimen menjadi kaku, langkah ku berat untuk menjijakkan kaki keadalam rumahnya. Namun tetapku gagahi untuk memasuki kedalamnya. Aku melalui singgah sana yang indah dan dipersilakan duduk di atas sofa mewah yang sungguh empuk.


Qaseh memperkenalkan aku dengan ibu dan ayahnya, kami mula berbicara dan mengenali antara satu sama lain. Kemudian aku dihidangkan dengan makanan yang sungguh lazat. Ketika makan ayahnya bertanya:
"bila nak masuk meminang?".

Aku tersentak mendengar persoalan itu. Aku cuma tersenyum tanpa jawapan. Melihat keadaan keluarga Qaseh yang kaya-raya adakah layak bagi ku. Aku cuma anak seorang ibu tunggal yang hidup dengan menorah getah.



**************************

Selesai makan Qaseh meminta izin dari ibu dan ayah nya untuk berbual seketika dengan aku. Perbualan kami malam ini di saksikan oleh bulan dan bintang yang menerangi kegelapan di angkasa raya. Angina-angin sepoi bahasa bermula bermain dimuka kami berdua.

"Wan, kalau wan rasa nk pinang Qaseh, wan cuma kena sediakan sebentuk cincin je untuk Qaseh".
"Sebentuk cincin je".hati ku tertanya-tanya.
"Pasal wang urusan perkahwinan keluarga Qaseh boleh uruskan, Qaseh tahu macam mana keadaan keluarga wan, Qaseh sayangkan wan".

Mulianya hati Qaseh terhadapku, hanya sebentuk cincin di mintanya sebagai mahar perkahwinan. Aku berjanji dengan Qaseh akan meminangnya pada minggu hadapan dengan membawa sebentuk cincin untuknya.

*************************

Hari perkahwinan aku sudah tiba dan segala persiapan sudah pun tersedia. Hati ku gementar untuk berjabat tangan dengan tok kadi untuk mengakad nikahku.

"bila kata tunai kamu jawab yer"

"Okey tok".

"Aku nikahkan di kau syazwan bin hasan dengan Qaseh binti abu dengan mas kawin 80ringgit tunai".

"Aku terima nikahnya dengan mas kawin sebanyak tersebut".

Akhirnya menikah juga aku, tibalah masa untuk melihat wajah permaisuri ku. Jantungku berdebar-debar menantikan Qaseh. Aku menghampiri Qaseh dan meminta izin daripadanya:

"Qaseh, boleh wan buka purdah Qaseh".

Tiba-tiba aku merasa satu hentakkan di kepala ku. Terasa bagai bumi ini terbelah dua.

"woiii, bangun la, asyik nak membuta je, tak ada kerja lain ke engkau nie". Pekikan ibu ku setelah disikunya kepadaku sehingga benjol.

"ish, kacau la ibu ni, sikit lagi nak habis mimpi ni, rugi la".

"Banyak kau punya rugi, getah tu sapa nak toreh, yang tu lagi rugi, bangun!!!!".

**************************

Begitulah kisah cincin untuk Qaseh. Sebenarnya Qaseh ni anak tok imam masjid sebelah rumah aku. Ayahnya tolak pinangan aku sebab aku nak bagi cincin belah rotan je kat anak dia, Qaseh no hal, setuju je, ayah dia yang lebih-lebih pulak

21 Mei 2010

Jika Itu Cinta

Jika cinta pada seseorang,

Bersedialah untuk menyemai bahagia…

Bersedialah untuk disayangi,

bersedialah untuk dikasihi,

Bersedialah untuk menerima,

Bersedialah untuk memberi,

Bersedialah untuk memaafkan…

Sebaliknya…

Bersedialah untuk dilukai,

Bersedialah untuk dibenci,

Bersedialah ditangisi,

Bersedialah untuk ditinggalkan….

TAPI…..

Jika cinta pada ALLAH SWT…

Tak perlu bersedia apa-apa,

DIA sentiasa memberi kita kebahgiaan, mengasihi, menyayangi…

memberi, menerima dan memaafkan,

walaupun kita tak sedari dalam setiap hembusan nafas kita…

TAPI….

Bersediakah kita untuk bertemu denganNYA…

( untuk renungan bersama )

01 Mei 2010

Maruah

Jalan di situ berlopak-lopak besar, terhinjut-hinjut toyota ini dilambung graviti. Amy duduk disebelah sudah berapa kali bangun tidur, dengkurnya makin menjadi. Siaran radio sekejap berbunyi, bercampur-campur. Sekejap radio perak, sekejap kedah mengikut lambungan kereta lagaknya. Aku terpaksa memperlahankan kereta melalui satu perkampungan nelayan yang kotor, beberapa budak-budak kecil dengan muka yang comot dan hingus kering di muka berlari-lari. Seorang daripadanya tidak berseluar langsung,geli. Ada orang tua berbasikal mengangkat tangan memberi salam. Aku menaikkan cermin kereta, melepaskan rengusan garang. Amy sudah bangun, mengesat-ngesat mata, menggeliat kasar. Mengeluarkan bunyi seperti kerbau. Perempuan sial, sopannya cuma didepan jantan, tersipu-sipu dan bersimpuh malu. Hipokrit ini cuma tahu bersolek dan berdandan bila mahu keluar, di rumah dia seperti perempuan baru beranak, t-shirt goboh dengan kain pelekat senteng dan rambut usai seperti orang gila, mengeluarkan bau hapak dan masam.

Ada sebuah jeti buruk disitu. Beberapa nelayan baru sampai dari laut di sambut peraih-peraih buncit. Memunggah ikan. Amy sudah separuh menggelepar diluar meliar mata mencari shafik, tunangnya. Aku duduk sahaja di dalam kereta, aku bencikan pantai hanyir seperti ini. Beberapa gadis bertudung labuh lalu dengan menaiki basikal dan memberi senyuman. Aku hempas pintu serta merta. Memang benar. Perempuan kolot seperti mereka itu, patut dijerukkan saja di tempat busuk ini.Tolol!


Kemudian, datang seorang tua menghampiri tingkap belakang. Aku sedikit marah, mengetap bibir.
"Nak apa?" Dia terketar terkejut, sedikit berundur.
" Assalammualaikum Nak, pakcik ambil upah cuci kereta.." Dia bercakap dengan pandangan yang tumpah ke kakinya, tertib dan seperti takut. Di tangannya ada satu baldi buruk air sabun dengan tuala koyak di bahu. Baju kemeja kusam koyak di poket, cuma dibutang dua menampakkan dadanya yang leper ditolak tulang selangka. Seluar hijau pudar senteng. Tidak berkasut dengan kuku hitam dan kaki yang reput. Menjijikkan.
" Basuh sajalah, tapi, awas. Kalau calar kereta aku. Tahulah macamana aku nak ajar kau."
Berkata sambil meliarkan mata pada Amy. Tengah tersengih-sengih meramas-ramas tangan dengan tunangnya itu. Duduk pula bersimpuh, membelai-belai rambut. Boleh pula kaki yang asyik duduk terkangkang di rumah itu di tutup rapat. Orang tua itu tertunduk-tunduk mengucap terima kasih. Ah, miskin seperti ini tunduk-tunduk meminta simpati, tiada maruah. Terus saja dia menggosok satu demi satu tayar kereta. Memberus sambil terbatuk-batuk, meludahkan kahak hijau. Pengotor, sial! Aku mengalihkan mata ke pantai. Peraih berdekah ketawa menepuk-nepuk belakang nelayan kurus itu. Menyerahkan beberapa ringgit. Nelayan itu tersenyum pahit. Menyelitkannya di celah kopiah. Itulah, siapa suruh kecil-kecil tidak mahu belajar pandai-pandai, masuk universiti dan kerja besar. Tidaklah hidup susah seperti itu. Bodoh!

" Sudah nak?" Pakcik itu datang setelah 20 minit. Aku sudah malas hendak tengok, dan bagi sahaja RM 5. Aku rasa itu sudah cukup lumayan untuk fakir seperti dia. Cepat-cepatlah dia pergi. Tapi, sebaliknya dia memegang lama duit itu. Tunduk dan menangis tersedu-sedu. Menambahkan kerut dan mengelap mata dengan hujung kemeja.
"Kenapa ni? Gila?"
" Nak, seumur hidup pakcik hidup susah ini, pakcik kerja memetik kelapa, mencuci tandas di restoran, kemudian mencuci kereta, belum pernah pakcik terima upah sebanyak ini. Paling banyak pun seringgit." Dia bersungguh-sungguh melihat ke dalam mata aku.


Timbul pula sedikit simpati, sedikit sayu. Rasa yang tidak pernah bertakung dalam hati keras aku selama 25 tahun ini. Dia melipat kecil wang itu diikat simpul di dalam sapu tangan biru muda. Pergi dengan terhinggut menangis dengan baldi buruk ke arah sekumpulan nelayan. Aku pandang sahaja dengan kosong. Ini warna kemiskinan, aku tidak pernah lihat. Aku membesar dalam hutan batu, di kota lumpur. Keras diselaput wang kemewahan, kemudian keluar dengan segulung ijazah. Bekerja seperti orang gila untuk duit. Biarlah, kalau aku mahu bantu, ramai lagi diluar sana. Lupakan saja. Amy memanggil aku dari sebuah kedai makan di situ. Hampir 10 minit , melayan meluat- melihat Amy yang tersipu-sipu menggagau mee dengan sudu dan garfu. Kemudian, kelibat orang tua itu melintasi kami, menjinjing dua beg besar hitam berisi barang. Hairan, takkanlah dengan wang RM 5 dia boleh membeli barang sebanyak itu. Mustahil. Atau dia memang ada duit tapi, berlagak seperti fakir. Mungkin.
Dengan rasa ragu, aku menghapirinya. Dia memberi senyum lembut dan aku dengan rasa curiga bertanya terus.

" eh, pakcik. Tadi saya bagi lima ringgit, takkan dapat beli barang banyak macam ini?" .
Bunyinya seperti meninggi. Pakcik itu seperti terkejut.
Dia diam dan tunduk seketika. Pahit menelan air liur. Meletakkan dua beg plastik di atas tanah, membukanya satu satu, perlahan-lahan dan terketar.
Aku terkedu. Terkejut dan malu. Pakcik itu mengeluarkan sapu tangan tadi dan membuka simpulannya.
Wang aku tadi, masih terlipat kemas.
" Nak, pakcik tahu. Kami ini orang susah, nak. Hidup seperti najis, dibuang dan ditolak-tolak. Kalian pekup hidung melihat kami. Ambillah ini semula. Pakcik juga punya maruah. Kadang-kadang maruah kami lebih tinggi dari kamu orang kaya yang hidup berpura-pura, menipu orang. Maruah kami masih tinggi. Bila anak menyoal pakcik seperti tadi, anak telah memijak maruah pakcik. Anak seperti menghukum pakcik sebagai orang tual sial yang berpura-pura susah? Ambillah semula,nak."

Pakcik itu meletakkannya di atas tangan aku, dan aku menolak, berkali-kali. Aku sudah menangis, meminta maaf, berkali-kali. Tidak mahu menyentuh langsung wang itu, hingga jatuh di hujung kaki. " Lihat, itulah tempat duit. Di tapak kaki. Duit itu perlu, tapi jangan sampai ia lebih tinggi dari harga diri. Jangan sampai duit menjadikan kita angkuh dan bongkak. Pakcik ke sana tadi, tempat nelayan memunggah ikan. Pakcik kutip ikan-ikan kembung pecah perut ini yang sudah dibuang ke tepi. Dengan bangkai busuk ini pakcik sambung hidup anak-anak pakcik, jangan sampai kelaparan, jangan mati."
Mendatar sahaja suara orang tua itu berkisar-kisar dengan pukulan ombak.

Dia terbatuk-batuk berjalan, meninggalkan aku dengan wang lima ringgit di hujung kaki, dua plasik berisi ikan busuk yang sudah mula dihurung lalat. Aku terduduk menangis semahu-mahunya. Aku mempunyai wang yang boleh membeli segala kemewahan dunia. Cuma aku belum mampu membeli sesuatu yang ada dalam diri orang tua itu.
Maruahnya~...