Followers

01 Mei 2010

Maruah

Jalan di situ berlopak-lopak besar, terhinjut-hinjut toyota ini dilambung graviti. Amy duduk disebelah sudah berapa kali bangun tidur, dengkurnya makin menjadi. Siaran radio sekejap berbunyi, bercampur-campur. Sekejap radio perak, sekejap kedah mengikut lambungan kereta lagaknya. Aku terpaksa memperlahankan kereta melalui satu perkampungan nelayan yang kotor, beberapa budak-budak kecil dengan muka yang comot dan hingus kering di muka berlari-lari. Seorang daripadanya tidak berseluar langsung,geli. Ada orang tua berbasikal mengangkat tangan memberi salam. Aku menaikkan cermin kereta, melepaskan rengusan garang. Amy sudah bangun, mengesat-ngesat mata, menggeliat kasar. Mengeluarkan bunyi seperti kerbau. Perempuan sial, sopannya cuma didepan jantan, tersipu-sipu dan bersimpuh malu. Hipokrit ini cuma tahu bersolek dan berdandan bila mahu keluar, di rumah dia seperti perempuan baru beranak, t-shirt goboh dengan kain pelekat senteng dan rambut usai seperti orang gila, mengeluarkan bau hapak dan masam.

Ada sebuah jeti buruk disitu. Beberapa nelayan baru sampai dari laut di sambut peraih-peraih buncit. Memunggah ikan. Amy sudah separuh menggelepar diluar meliar mata mencari shafik, tunangnya. Aku duduk sahaja di dalam kereta, aku bencikan pantai hanyir seperti ini. Beberapa gadis bertudung labuh lalu dengan menaiki basikal dan memberi senyuman. Aku hempas pintu serta merta. Memang benar. Perempuan kolot seperti mereka itu, patut dijerukkan saja di tempat busuk ini.Tolol!


Kemudian, datang seorang tua menghampiri tingkap belakang. Aku sedikit marah, mengetap bibir.
"Nak apa?" Dia terketar terkejut, sedikit berundur.
" Assalammualaikum Nak, pakcik ambil upah cuci kereta.." Dia bercakap dengan pandangan yang tumpah ke kakinya, tertib dan seperti takut. Di tangannya ada satu baldi buruk air sabun dengan tuala koyak di bahu. Baju kemeja kusam koyak di poket, cuma dibutang dua menampakkan dadanya yang leper ditolak tulang selangka. Seluar hijau pudar senteng. Tidak berkasut dengan kuku hitam dan kaki yang reput. Menjijikkan.
" Basuh sajalah, tapi, awas. Kalau calar kereta aku. Tahulah macamana aku nak ajar kau."
Berkata sambil meliarkan mata pada Amy. Tengah tersengih-sengih meramas-ramas tangan dengan tunangnya itu. Duduk pula bersimpuh, membelai-belai rambut. Boleh pula kaki yang asyik duduk terkangkang di rumah itu di tutup rapat. Orang tua itu tertunduk-tunduk mengucap terima kasih. Ah, miskin seperti ini tunduk-tunduk meminta simpati, tiada maruah. Terus saja dia menggosok satu demi satu tayar kereta. Memberus sambil terbatuk-batuk, meludahkan kahak hijau. Pengotor, sial! Aku mengalihkan mata ke pantai. Peraih berdekah ketawa menepuk-nepuk belakang nelayan kurus itu. Menyerahkan beberapa ringgit. Nelayan itu tersenyum pahit. Menyelitkannya di celah kopiah. Itulah, siapa suruh kecil-kecil tidak mahu belajar pandai-pandai, masuk universiti dan kerja besar. Tidaklah hidup susah seperti itu. Bodoh!

" Sudah nak?" Pakcik itu datang setelah 20 minit. Aku sudah malas hendak tengok, dan bagi sahaja RM 5. Aku rasa itu sudah cukup lumayan untuk fakir seperti dia. Cepat-cepatlah dia pergi. Tapi, sebaliknya dia memegang lama duit itu. Tunduk dan menangis tersedu-sedu. Menambahkan kerut dan mengelap mata dengan hujung kemeja.
"Kenapa ni? Gila?"
" Nak, seumur hidup pakcik hidup susah ini, pakcik kerja memetik kelapa, mencuci tandas di restoran, kemudian mencuci kereta, belum pernah pakcik terima upah sebanyak ini. Paling banyak pun seringgit." Dia bersungguh-sungguh melihat ke dalam mata aku.


Timbul pula sedikit simpati, sedikit sayu. Rasa yang tidak pernah bertakung dalam hati keras aku selama 25 tahun ini. Dia melipat kecil wang itu diikat simpul di dalam sapu tangan biru muda. Pergi dengan terhinggut menangis dengan baldi buruk ke arah sekumpulan nelayan. Aku pandang sahaja dengan kosong. Ini warna kemiskinan, aku tidak pernah lihat. Aku membesar dalam hutan batu, di kota lumpur. Keras diselaput wang kemewahan, kemudian keluar dengan segulung ijazah. Bekerja seperti orang gila untuk duit. Biarlah, kalau aku mahu bantu, ramai lagi diluar sana. Lupakan saja. Amy memanggil aku dari sebuah kedai makan di situ. Hampir 10 minit , melayan meluat- melihat Amy yang tersipu-sipu menggagau mee dengan sudu dan garfu. Kemudian, kelibat orang tua itu melintasi kami, menjinjing dua beg besar hitam berisi barang. Hairan, takkanlah dengan wang RM 5 dia boleh membeli barang sebanyak itu. Mustahil. Atau dia memang ada duit tapi, berlagak seperti fakir. Mungkin.
Dengan rasa ragu, aku menghapirinya. Dia memberi senyum lembut dan aku dengan rasa curiga bertanya terus.

" eh, pakcik. Tadi saya bagi lima ringgit, takkan dapat beli barang banyak macam ini?" .
Bunyinya seperti meninggi. Pakcik itu seperti terkejut.
Dia diam dan tunduk seketika. Pahit menelan air liur. Meletakkan dua beg plastik di atas tanah, membukanya satu satu, perlahan-lahan dan terketar.
Aku terkedu. Terkejut dan malu. Pakcik itu mengeluarkan sapu tangan tadi dan membuka simpulannya.
Wang aku tadi, masih terlipat kemas.
" Nak, pakcik tahu. Kami ini orang susah, nak. Hidup seperti najis, dibuang dan ditolak-tolak. Kalian pekup hidung melihat kami. Ambillah ini semula. Pakcik juga punya maruah. Kadang-kadang maruah kami lebih tinggi dari kamu orang kaya yang hidup berpura-pura, menipu orang. Maruah kami masih tinggi. Bila anak menyoal pakcik seperti tadi, anak telah memijak maruah pakcik. Anak seperti menghukum pakcik sebagai orang tual sial yang berpura-pura susah? Ambillah semula,nak."

Pakcik itu meletakkannya di atas tangan aku, dan aku menolak, berkali-kali. Aku sudah menangis, meminta maaf, berkali-kali. Tidak mahu menyentuh langsung wang itu, hingga jatuh di hujung kaki. " Lihat, itulah tempat duit. Di tapak kaki. Duit itu perlu, tapi jangan sampai ia lebih tinggi dari harga diri. Jangan sampai duit menjadikan kita angkuh dan bongkak. Pakcik ke sana tadi, tempat nelayan memunggah ikan. Pakcik kutip ikan-ikan kembung pecah perut ini yang sudah dibuang ke tepi. Dengan bangkai busuk ini pakcik sambung hidup anak-anak pakcik, jangan sampai kelaparan, jangan mati."
Mendatar sahaja suara orang tua itu berkisar-kisar dengan pukulan ombak.

Dia terbatuk-batuk berjalan, meninggalkan aku dengan wang lima ringgit di hujung kaki, dua plasik berisi ikan busuk yang sudah mula dihurung lalat. Aku terduduk menangis semahu-mahunya. Aku mempunyai wang yang boleh membeli segala kemewahan dunia. Cuma aku belum mampu membeli sesuatu yang ada dalam diri orang tua itu.
Maruahnya~...

Tiada ulasan: