Bila bercerita soal kawin, mesti ada yang sebut pasal duit hantaran, KEBANYAKKAN perempuan akan berfikir dan mengatakan itu tugas lelaki. Itu tanggungjawab lelaki. Ramai perempuan yang merasakan mereka patut wang hantaran tinggi. Kadang-kadang ada yang sampai berlawan sesama sendiri. Mahu menang siapa paling tinggi. Cuba lawan standard para artis. Tanpa berfikir panjang tentang baik buruknya.
“Aku kesian dengan kawan aku, bakal pak mertua dia mintak duit hantaran RM15K, Mas Kahwin pulak separuh dari duit hantaran. Barang-barang hantaran semua mahal, handbag je dah RM2K”
“Kenapa handbag sampai RM2K? Kenapa tak cari yang murah sikit?”
“tunang dia yang mintak. dia nak handbag tu?”
Aku teringat, setiap kali mak aku terdengar wang hantaran yang jejak puluh-puluh ribu, pasti mak aku akan kata “itu bukan nak kahwinkan anak. Itu jual anak namanya”. Aku sangat bersetuju. Apa relavennya meminta wang hantaran setinggi langit? Sebab kos untuk buat kenduri kahwin mahal? Itu sebab kau cari yang high standard. Walhal makanan tu lepas dari tekak dah tak ada beza pun. Yang berkhasiat jadi tenaga, yang tak berguna kita laburkan dalam bilik kecil. Goodie bag yang mengandungi barang-barang menarik dan ekslusif? Beritahu aku berapa ramai yang simpan barang-barang goodie bag yang diterima dari majlis kahwin? Tak ramai mana pun. Banyak yang jadi sampah.
Pendapat aku, perempuan tak patut meletakkan beban wang hantaran 100% pada lelaki. Bukan aku kata perempuan patut tolong cari duit untuk cukupkan wang hantaran, tapi meletakkan wang hantaran biarlah berpada-pada. Itu hanya adat, bukan diwajibkan dalam agama. Cuba fikir baik buruknya. Kalau kau minta hantaran tinggi melangit, sudah cukup simpanan bakal suami kau? Kalau belum mana dia nak cari? Merompak? Ramai yang terpaksa buat pinjaman peribadi. Sudah jadi satu beban. Lagi beban kalau minta pinjaman peribadi dekat bank semua di tolak, jalan terakhir hanya ah long. Kau ingat sekarang ni senang bank nak bagi pinjaman? Yang senang pun kadar faedah tinggi, umpama ah long berlesen. Dah berhutang, lepas kahwin suami kau sakit kepala nak langsaikan hutang. Kau pula dah pasti mahukan itu dan ini. Mana suami kau nak cekau duit?
Silap-silap makan ikan kering je hari-hari. Itu pon kalau ada. Kemudian kau tak tahan hidup begitu dan apa penyudahannya? Cerai? Kau kahwin untuk bercerai ke? Itu kalau pinjaman peribadi di bank. Macam mana pula kalau pinjaman dengan ah long? Hari-hari di ganggu, di simbah cat merah, terima ugutan, pindah sana sini untuk lari dari ah long. Kau pasti tidak tahan dengan semua itukan? Jadi kesudahannya? Bercerai? Pernah kau fikir semua ini?
“Bakal suami aku jurutera. Gaji lebih RM10K sebulan. Dia mampu nak beri wang hantaran tinggi mana pun”.
Ok, kalau dia mampu baguslah. Tapi pernah kau terfikir buruk dan baik selain yang aku nyatakan kat atas? Aku pernah terbaca artikel dalam salah satu surat khabar tempatan tentang kajian mengenai wang hantaran yang terlalu tinggi. Menurut artikel tersebut, dari kajian yang dibuat, kebanyakkan suami yang membayar wang hantaran yang tinggi seolah-olah cuba memisahkan si isteri dengan keluarganya. Kenapa? Alasan mereka, “saya dah beli awak dari orang tua awak dengan harga yang tinggi”. Sanggup kau dengar perkataan tu? Tak ke terasa seperti barang dagangan?
Hantaran yang tinggi tak bermakna kau akan bahagia dan hantaran yang rendah tak bermakna kau gagal “bersaing”. Aku rasa mereka yang meminta hantaran terendah/tidak meminta hantaran/membiarkan pihak lelaki menetapkan kadar hantaran adalah perempuan yang mulia. Dan aku tidaklah bermaksud mereka yang telah meletakkan kadar hantaran yang tinggi itu tidak baik. Itu hak masing-masing. Aku cuma ingin beri pendapat untuk membuka minda orang Melayu kita.
Ini hanyalah pendapat peribadi aku. Tidak ada ditujukan secara peribadi pada sesiapa. Aku hanya terasa jengkel dengan sikap orang kita. Jadi aku hanya meluahkannya di sini. Pinjam kata-kata dari blogger Sultan Muzaffar, “Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.”
Renung-renungkan dan selamat beramal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan