Followers

06 Oktober 2011

Kita Kan Kawan




Gotta Be My Girl



“Jangan menunggu buah yang tak gugur,”nasihat Walid sambil menepuk bahu Hisyam yang asyik termenung dari tadi. Hisyam tidak mempedulikan kata-kata Walid sebaliknya hanya melemparkan pandangan kosong ke arah sekumpulan pelajar yang sedang leka bermain.

“Aku ni jahat sangat ke, Walid?” Hisyam meluahkan kata-kata yang agak mengejutkan Walid.Walid serba-salah untuk memberikan jawapan.Sememangnya rakannya itu agak nakal,tapi dia tidak sampai hati untuk berkata begitu kepada Hisyam. Bimbang, sekiranya sahabatnya itu kecil hati pula.

“Semua pelajar tak suka pada aku. Kau pun macam tu juga ke?” Walid terkedu mendengar pertanyaan Hisyam. Walid merenung wajah Hisyam yang kelihatan tidak bermaya. Walid tahu mengapa sahabatnya itu berkelakuan sebegitu rupa. Cinta yang bertepuk sebelah tangan memang menyeksakan.

“Syam, aku risaulah melihat keadaan kau ni.Disebabkan putus cinta,kau bagaikan orang gila.Dah tiga hari kau tak ke sekolah.Kenapa jadi macam ni, Syam?” Hisyam hanya menggelengkan kepalanya sambil menarik-narik rambutnya yang agak panjang dan berserabut.Fikirannya buntu.
“Aku cintakan Puteri” ujar Hisyam dengan nada perlahan.

“Tapi,dia tak suka pada kau.”

“Kenapa? Sebab aku ni budak jahat? Orang jahat tak boleh bercinta ke?”

Walid sekali lagi terkedu dengan pertanyaan Hisyam. Sambil menggelengkan kepalanya,dia berkata, “Syam,ini bukanlah masanya untuk bercinta.Kita nak periksa tak lama lagi.STPM lebih penting dari segala-galanya,Syam.”

“STPM lebih penting konon. Habis tu, yang kau bercinta dengan Wanie tu,apa? Bukan bercinta namanya tu?” Hisyam cuba melepaskan geramnya.Nafasnya turun-naik dengan pantas.

“Syam, aku sedang katakan mengenai kau, okey? Jangan libatkan nama aku dan Wanie.”Walid mula berasa bosan dengan perangai Hisyam.Dia mahu pergi dari situ dengan secepat mungkin,tapi niatnya untuk menyedarkan rakannya itu telah mengatasi segala-galanya.

“Syam,kau tak malu ke? Dulu,kau kata kau tak gentar pada sesiapa pun. Tapi sekarang,kau kalah pada cinta pula. Kau tak takut ke kalau orang kata kau ni penakut?”perli Walid. Hisyam bengang dengan kata-kata Walid,lalu dia segera bangun dan melepaskan tumbukan tepat ke arah muka Walid. Walid tidak sempat mengelak dan ia merasakan seolah-olah dirinya melayang ke udara lalu jatuh terpelanting di atas lantai.

“Kalau kau anak jantan, buktikanlah yang kau mampu bangkit semula. Tunjukkan pada semua orang yang kau pun boleh jadi baik,” kata Walid sambil meraba mukanya yang mula terasa sakit akibat tumbukan Hisyam. Hisyam menggenggam erat buku limanya sambil merenung tajam ke arah wajah Walid yang mula menunjukkan kesan lebam akibat perbuatannya.

“Maafkan aku, Walid.” Perlahan saja nada yang digunakan oleh Hisyam untuk meminta maaf kepada Walid. Kolam matanya mula bertakung oleh manik-manik jernih dan hanya menunggu masanya saja untuk jatuh ke bumi. Walid menggelengkan kepalanya sambil bangun.

“Cuba ubah diri kau tu. Jadilah orang yang budiman. Bukannya susah sangat.” Walid berlalu pergi, meninggalkan sahabatnya itu sendirian,melayan perasaan.

================

Jeritan jam loceng mengejutkan Walid dari mimpi indah.Dia bergegas bangun lau mencapai kain tuala yang tersidai di birai katilnya. Dia melemparkan pandangannya ke arah katil Hisyam.Kosong,penghuninya tiada,yang ada hanyalah bantal dan selimut yang tersusun rapi.Walid kehairanan, kerana selalunya sahabatnya itu begitu liat untuk bangun pagi.

“Selamat pagi,”tegur Hisyam. Terbeliak mata Walid melihat perubahan pada diri Hisyam.Hisyam kelihatan begitu segak apabila mengenakan uniform sekolahnya. Rambutnya yang panjang sudah dipotong. Nampak lebih kemas apabila misai yang menghiasi wajahnya sudah hilang dari pandangan. Hisyam tersenyum kecil apabila melihat gelagat Walid yang seolah-olah terjumpa seorang putera lagenda.

“Nak jadi lelaki budiman, kenalah jaga imej,”ujar Hisyam tanpa di soal. Walid bangga dan kagum melihat perubahan yang ditunjukkan oleh Hisyam. 

“Tak sia-sialah aku kena tumbuk semalam,”usik Walid sambil bergegas ke bilik air.Kali ini,dia pula yang terlambat. Hisyam sudah pun bersiap-sedia untuk turun makan.Dia tersenyum kecil. 

“Tentu kawan-kawan aku terperanjat dengan perubahan ni. Si Puteri pun tentu jatuh hati pada aku,”desis hati kecil Hisyam.

“Selamat pagi,Wanie,”tegur Hisyam kepada rakan sekelasnya,Nor Wanie Hamzah. Seperti Walid, Wanie juga betul-betul terperanjat besar melihat perubahan pada diri rakan sekelasnya itu.

“Syam, kau ke ni? Wah,segaklah kau hari ni. Ada apa-apa ke ni?” usik Wanie sambil tersenyum sinis.Hisyam tidak mempedulikan sindiran Wanie.Matanya melirik ke arah wajah seorang gadis yang sedang duduk di satu sudut kelas sambil membaca buku. Kemudian,dia tersenyum.Dia segera melangkah menghampiri gadis itu.

“Hai, Puteri. Puteri baca buku apa tu?” tegur Hisyam dengan mesra. Puteri nampaknya terkedu dengan teguran Hisyam itu. Dia tidak menyangka bahawa Hisyam masih mahu menegurnya walaupun dia pernah melukakan hati pemuda itu. Puteri tidak menjawab pertanyaan Hisyam. Dia membatukan dirinya.

“Puteri kita masih kawan,kan?” tanya Hisyam sambil tersenyum.Puteri sekali lagi terkedu dengan pertanyaan Hisyam.Dia tidak berani bertentangan mata dengan pemuda yang pernah meminatinya .Puteri hanya mampu mengangguk kecil.

“Baguslah tu.Terima kasih,Puteri.”Kelembutan dan kesopanan yang ditunjukkan oleh Hisyam membuatkan hati Puteri berdebar-debar. Hisyam telah benar-benar berubah. Dari seorang pemuda yang selekeh dan kasar,dia berubah menjadi seorang lelaki yang budiman.

==========================

Walid menutup buku latihannya apabila loceng waktu rehat berbunyi. Diasegera menghampiri Wanie lalu mengajak sahabatnya itu pergi ke perpustakaan. Wanie akur dengan pelawaan Walid. Rakan-rakan Wanie hanya tersenyum melihat gelagat Walid dan Wanie yang seolah-olah seperti sepasang kekasih. Ke mana saja mereka pergi pasti berdua,sehinggakan ada yang menganggap mereka ni benar-benar sedang bercinta.

Walid dan Wanie sedang khusyuk membuat kerja sekolah mereka apabila mereka didatangi oleh Hisyam. Kedatangan Hisyam sememangnya amat memeranjatkan kerana selama ini pemuda itu begitu liat untuk menjejakkan kakinya ke perpustakaan.

“Hai,apa mimpinya kau datang ke sini,Syam?” tanya Walid.

“Tak ada apa-apa.Aku cuma nak ‘join’ korang. Tak boleh ke?” Hisyam mengambil tempat disebelah Walid.Wanie yang duduk didepan mereka hanya melemparkan senyuman kecil sambil tangannya ligat membuat kerja. Hisyam membelek satu-persatu helaian buku yang dipinjamnya dari perpustakaan itu,sambil sesekali matanya melirik ke arah kedua-dua sahabatnya itu yang sedang sibuk berbincang mengenai pelajaran. Mulalah timbulnya satu perasaan cemburu dari sudut hati Hisyam. Dia bergegas bangun dari tempat duduknya sambil berlalupergi, meninggalkan kedua-dua sahabatnya itu.


======================

Hisyam hanya memerhatikan Walid yang sedang khusyuk berdoa.Sesekali dia melemparkan pandangannya ke arah gambar Wanie yang tertampal kemas di sudut meja tulis Walid.Wajah gadis itu sungguh suci dan cantik. Memang secocok dengan Walid yang bukan kacak malah budiman. Kotak-kotak memori Walid berpusing ligat,mengingatkan kembali kisah silamnya.
Semasa berada di tingkatan lima, dia bercinta dengan Iftah,seorang gadis kaya yang begitu bersosial.Setiap hari Hisyam dan Iftah pasti akan berjumpa. Mereka akan berpeleseran di bandar, tengok wayang dan melepak di pusat membeli- belah. Hisyam sering tidak menyiapkan kerja sekolahnya dan selalu didenda kerana pulang lewat ke asrama. Kisah cintanya bersama Iftah telah mendapat perhatian dari semua pelajar dan guru-guru sehinggakan mereka sering dikutuk kerana bercinta di alam persekolahan.

Suatu hari, Hisyam dan Iftah telah ditangkap oleh guru disiplin kerana berdua-duaan di belakang bangunan sekolah. Akibat perbuatan mereka itu,Hisyam dan Iftah digantung sekolah selama sebulan. Iftah memutuskan hubungan dengan Hisyam selepas kejadian itu.

Hisyam mula jatuh hati pada Puteri ketika berada di tingkatan 6.Gadis yang berkulit cerah dan lemah-lembut itu telah berjaya memikat hati Hisyam.Tapi disebabkan sikap Hisyam yang nakal, suka merokok dan selalu ponteng kelas telah menyebabkan dia tidak disukai oleh rakan-rakan sekelasnya.Jadi,tidak hairanlah kalau si Puteri sanggup menolak cinta Hisyam.

“Hai,termenung lagi? Cakap dah insaf.” lamunan Hisyam terhenti apabila Walid yang baru saja selesai sembahyang menegurnya.Hisyam hanya tersenyum kelat. 

“Aku cemburu pada kau,Walid,”kata Hisyam.

“Kenapa pula?”

“Kau sungguh bertuah sebab kau dapat memiliki gadis yang kau suka.Tak ada siapa pun yang menentang hubungan kamu berdua.” Hisyam meluahkan perasaan yang terbuku dihatinya. Walid tergelak besar mendengar kata-kata Hisyam. Hisyam kehairanan melihat telatah Walid yang tiba-tiba saja tergelak macam orang hilang akal. 

“Syam,Syam.Aku dan Wanie bukannya bercinta betul-betul.Kami main-main je,” ujar Walid sambil menahan tawa.Perutnya bagai nak pecah apabila dia tidak dapat menahan dirinya dari terus ketawa.

“Apa maksud kau? Semua rakan-rakan kita dah tahu yang kau dan Wanie bercinta. Malah, kamu berdua amat rapat.” Hisyam cuba mendapatkan kepastian.

“Memanglah kami rapat.Tapi kami memang tak bercinta.Kamu semua yang salah faham,”kata Walid. Kemudian dia menyambung ,

“Macam ni, kau pun tahu yang aku ni lemah dalam Sejarah. Wanie pula lemah dalam Bahasa Inggeris. Jadi, untuk memperbaiki kelemahan masing-masing,kami sering membuat ‘study group’ bersama-sama. Kamu ingat kami bercinta. Jadi kami berpura-puralah bercinta. Kami nak main-mainkan kamu je,” jelas Walid dengan panjang lebar. Melopong mulut Hisyam mendengar penjelasan Walid.

“Kalau ‘study group’,kenapa dua orang je?” Hisyam masih tidak berpuas hati dengan penjelasan Walid.

“Saja, dua orang lagi bagus.Kalau ramai-ramai nanti bukannya jadi ‘study group’,tapi jadi kelas berborak.”

“Jadi selama ni kami salah fahamlah ye?Berani kau mempermainkan kami semua.”Hisyam dan Walid saling tersenyum.

“Emm sebenarnya, Syam. Bercinta di alam persekolahan tak bagus. Nanti kita sendiri yang akan kecundang.Masa masih panjang.Suatu hari nanti,kita semua akan merasa apa yang kita inginkan.Tuhan sudah menetapkan jodoh masing- masing.Kita cuma perlu tunggu masa yang sesuai saja untuk menikmatinya,” nasihat Walid bagaikan seorang ustaz.

Hisyam mengangguk kecil, akur dengan kata-kata Walid.Sebenarnya dia sendiri sedia maklum tentang hal itu.Tapi,nafsu remajanya telah menghalang mindanya daripada berfikir secara rasional.
“Walid,boleh aku join study group kau?”tanya Hisyam.Walid tersentak dengan pertanyaan Hisyam.Walid hanya mampu mengangguk kecil.
“Baik,mari kita mulakan!”Hisyam mencapai buku rujukannya lalu berjalan megah ke bilik ‘study’ sambil diekori oleh Walid yang masih terpinga-pinga dengan kelakuan sahabatnya itu.
“Betul ke Hisyam dah berubah?Kalau dia hanya main-main saja ,macam mana?” desis hati kecil Walid.
Wanie terkejut apabila melihat kelibat Hisyam dalam bilik ‘study’ itu. Hisyam juga terperanjat besar apabila melihat wajah Puteri muncul bersama-sama Wanie.
“Sebenarnya Puteri nak join ‘study group’ kita,”ujar Wanie tanpa disoal. Walid hanya mengangguk kecil sambil melemparkan pandangannya ke arah Hisyam yang masih memerhatikan Puteri.
“Baguslah tu.Hisyam pun nak ‘join’ sekali.Marilah,kita sama-sama belajar dan sama-sama berjaya,”kata Walid. Hisyam hanya melemparkan senyuman kecil kepada Puteri. Puteri membalasnya dengan tersipu malu.
“Emm maaf ye.Kita ke sini nak ‘study’ untuk STPM,bukannya nak ‘study’ untuk berkasih-kasihan,”perli Walid. 
“Kitaorang kan kawan” Hisyam membalas dengan selambe je. Rakan-rakannya tergelak besar mendengar kata-kata Hisyam.

Tiada ulasan: