Followers

03 Mei 2013

PRU13 : Raja & Anjing


Ketika Putera Ismail berusia 17 tahun, beliau menyelamatkan seekor anak anjing yang hampir lemas. Anjing itu diberi nama Si Perang.

Ketika itu, hujan lebat, tempat di mana anak anjing yang baru dilahirkan ini ditenggelami air.

Ketika Putera Ismail tiba, semua anak anjing sudah meninggal, hanya tinggal Si Perang.

Si Perang seekor anjing yang cantik. Putera Ismail sangat menyukainya. Beliau mengarahkan seorang budak suruhannya untuk menjaga Si Perang – makan, minum, mandi dan membawa Si Perang keluar untuk membuang air tiga hari sekali.

Oleh kerana sayang pada Si Perang, Putera Ismail setiap petang datang menjenguk Si Perang untuk bermain dengannya sekejap. Putera Ismail tidak dapat meluangkan masa yang banyak kerana terpaksa membantu pentadbiran ayahnya yang kini uzur.

Pada usia 18 tahun, Putera Ismail ditabalkan sebagai Raja ekoran kematian bapanya.

Masa yang diluangkan bersama Si Perang semakin berkurang.

Ada satu ketika, Raja Ismail terpaksa keluar berperang – 6 bulan baginda tidak kembali.

Setelah kembali dari perang, Raja Ismail meluangkan masa pergi menjenguk Si Perang. Baginda menjenguk Si Perang dari jauh, sedang gembira bermain dengan budak suruhannya yang dikerah menjaganya.

Raja Ismail tidak lagi turun bermain dengan Si Perang kerana kesibukan. Baginda hanya melihat dari jauh. Si Perang membesar dengan cantik.

Pada satu hari, selepas tamatnya perang, Raja Ismail teringatkan Si Perang dan ingin bermain bersamanya.

Sampai ke kandang Si Perang, baginda melihat bekas makanan Si Perang bersepah. Budak suruhannya tidak kelihatan. Si Perang turut tidak kelihatan.

Ketika Raja Ismail melutut untuk mengambil bekas makanan Si Perang untuk dibersihkan, baginda diterkam dari belakang.

Si Perang menyerangnya. Baginda terkejut.

Baginda cuba melawan dan melepaskan gigitan Si Perang. Kedengaran bunyi kuat, budak suruhan baginda cepat-cepat lari datang untuk menyelamatkan keadaan.

Si Perang melihat kedatangan budak suruhan terus melepaskan gigitan dan menghayunkan ekornya.

“Beta tuan dia. Dia berani gigit beta. Dia sini sudah tak tahu siapa tuan dia sebenar. Bagaimana kamu ajar dia?” jerit Raja Ismail dengan nada yang kuat.

Budak suruhan itu mengigil dan memohon ampun.

Selepas seketika, kemarahan Raja Ismail pun reda.

“Sebab budak suruhan yang beri makan kepadanya tiap-tiap hari, oleh itu Si Perang menganggap budak suruhan itu sebagai tuannya walhal duit makanan datang daripada baginda. Tapi Si Perang tak tahu,” bisik Raja Ismail di hati.

Raja Ismail bertindak menukarkan budak suruhan kepada budak suruhan yang baru. Si Perang sangat garang dengan budak suruhan yang baru sehingga budak suruhan baru tidak berani memberikannya makan.

Si Perang dibiarkan kelaparan dua hari. Kemudian, Raja Ismail menyuruh budak suruhan baru memberikannya makan. Si Perang mula berjinak dengan budak suruhan yang baru dan kini menganggapnya sebagai tuan.

Akan tetapi, Si Perang masih terlupa siapa tuannya yang sebenar. Raja Ismail memahami sesuatu sambil tersenyum.

Ketika berbicara dengan para pegawainya, baginda berkata:

“Kita hanya diamanahkan untuk menjaga rakyat. Jangan belot amanah yang diberikan Tuhan. Jangan kita jadikan diri seperti Tuhan. Jangan biar rakyat menganggap kita pula sebagai Tuhan. Tuhan ialah Tuhan, kita hanyalah posmen untuk menyampaikan rezeki kepada rakyat.

Kerajaan boleh ditukar bila-bila masa. Jangan buat rakyat seperti anjing, membiarkannya lapar dan tidak cukup makan, dan kemudian menganggap kita sebagai Tuhan kerana kita mengambil sedikit duit keluar untuk mengurang kesengsaraan dan kelaparan mereka. Itu zalim dan tidak betul. Rakyat bukan anjing. Kita sekadar budak suruhan Tuhan untuk menjaga rakyat. Jangan pula kita buat rakyat sebagai anjing, dan mereka menganggap kita, budak suruhan ini sebagai Tuhan.”

Semua pegawainya tabik hormat pada pandangan Raja Ismail. Raja Ismail pula berterima kasih kerana gigitan Si Perang membuatnya menyedari sesuatu yang cukup berharga dalam mentadbir negara.

Dapat isi tersirat?


Tiada ulasan: