Imraan melihat-lihat jam di tangannya. Gelisah yang bertandang sejak tadi masih belum dapat diusir dari hatinya. Manakan tidak, kelibat Rayyan masih belum kelihatan. Jangankan batang hidung, bunyi enjin motosikal yang sering mengaum itu pun masih belum kedengaran.
”Hoi! Kawan lu dah takut ke nak datang? Apa, lutut ada goyang ka?” Daniel mula melakukan provokasi. Kata-katanya disambut oleh gelak tawa rakan-rakannya. Imraan mendengus geram.
”Sabar la! Dia dah nak sampai dah ni!” Mana mangkuk ayun ni tak sampai lagi? Rungut Imraan.
Deruman enjin motosikal yang semakin lama semakin kuat menarik perhatian Imraan. Segera dia menoleh dan tersenyum apabila melihat kelibat Rayyan datang membawa seorang gadis yang tidak dikenalinya, menaiki motosikal kuasa tinggi kesayangannya.
”Turun,” arah Rayyan apabila motosikalnya berhenti betul-betul di hadapan Imraan. Gadis yang memboncengnya tadi hanya menurut tanpa sebarang bantahan.
”Kita kat mana ni?”tanya gadis itu. Dia terpinga-pinga.
”Bro, kau tolong selesaikan dengan mamat tak betul tu sekejap. Aku nak selesaikan awek ni dulu,” ujar Rayyan tanpa mempedulikan pertanyaan gadis itu tadi. Imraan tidak menjawab, hanya menaikkan ibu jarinya dan lantas berlari ke arah Daniel yang mencebik ke arah mereka.
” Ayan ….,”
”Nana, dengar sini. Nana kena tolong Isi,” tidak semena-mena, Rayyan memegang kedua bahu Nana. Pewatakannya terus berubah.
”Tolong apa?” tanya Nana, lurus.
”Tolong Ayan. Kalau Ayan kalah game ni, Nana kena ikut lelaki tu,” ujar Rayyan sambil menunjuk ke arah Daniel yang sedang berbincang dengan Imraan.
”Apa?”
”Please, Nana, tolong Ayan. Demi Ayan. Ini soal maruah Ayan,”
“Kenapa Ayan buat Nana macam ni? Ayan tak sayang kat Nana ke?”
“Sebab Ayan sayang la Ayan minta tolong ni… Nana sayang Ayan kan?”
Nana mengangguk.
“Kalau Nana sayang Ayan, Nana kena buktikan. Tolong Ayan kali ni, boleh?”
Diam. Lama.
”Nana…,”
”Ye la, ye la. Nana tolong,”
Rayyan tersenyum nipis. Seorang lagi kaum Hawa berjaya dirosakkan. Syaitan pun apa lagi, menari-nari kesukaan.
”Rayyan,”
Lamunan Rayyan terhenti. Pantas dia menoleh. ”Pak Long,”
”Termenung jauh nampak? Terkesan dengan input program tu ke?”
Rayyan tunduk malu. Kalau la Pak Long tahu apa yang sedang bermain di fikirannya ketika ini… ”Jom, solat Asar. Diorang dah nak solat jemaah dah tu,” ajak Pak Long. Kemudian dia buru-buru masuk ke dewan apabila iqamat telah berkumandang.
Rayyan melangkah untuk ke tandas untuk mengambil wuduk. Sempat matanya melirik ke dalam dewan, di bahagian saf wanita. Dan dia melihat Nana sedang membantu membetulkan telekung seorang jemaah yang kurang upaya. Secara tiba-tiba, satu perasaan aneh muncul dalam jiwanya.
Perasaan apakah ini??
*****
Program motivasi yang dihadiri Rayyan tamat dengan jayanya. Sebaik selesai, semua peserta bangun dan bersalam sesama sendiri. Bukan hanya bersalam, tetapi berpeluk sekali bagi mengeratkan silaturahim. Yang lelaki dengan lelaki, begitu juga sebaliknya. Rayyan sendiri sebak setiap kali berpeluk dengan peserta lain sambil lafaz selawat dialunkan ke telinganya. Dia rasa… dia rasa… dia rasa lain sangat.
Ekor matanya mencari Nana dan menemui gadis itu sedang berbual dengan dua orang wanita berhampiran pintu masuk dewan. Automatik dia tersenyum. Untuk apa senyuman itu, dia sendiri tidak tahu. Bagaikan ada daya tolakan, kakinya terus melangkah menghampiri mereka.
”Nana,”
Nana pantas menoleh apabila mendengar namanya disebut. Lalu dia tersenyum apabila melihat Rayyan berada di hadapannya.
”Rayyan, kenalkan, ini Kak Yaya, dan ini Kak Sara. Diorang ni alumni dan kakak angkat Nana di sini,”
Yaya dan Mysara menganggukkan kepalanya kepada Rayyan apabila diperkenalkan oleh Nana.
”Ini Rayyan, kawan Nana,”
”Peserta?” tanya Mysara.
Rayyan mengangguk perlahan.
”Alhamdulilah. Jangan serik datang sini lagi. Ada yang dah lima enam tahun jadi alumni pun masih lagi datang sini. Cuba tengok diorang tu…,” Yaya menunjukkan sekumpulan belia yang sedang rancak berbincang sesuatu tidak jauh dari tempat mereka berdiri.
”Zura tu, dari sebelum kahwin dia aktif. Walaupun dia dah ke Korea untuk bekerja dan kahwin dengan Zarul di sana, dia masih lagi turun ke KL bila Along panggil. Sekarang ni bila ada anak, dia ambil keputusan untuk kembali menetap di sini,” ujar Yaya.
”Betul. Along pulak, kisah silamnya digunakan sepenuhnya untuk menyedarkan mereka yang kat luar sana tu, yang hidup ini bukan hanya untuk duit, nama, kuasa atau yang sewaktu dengannya,” sambung Mysara pula.
”Yang mana satu suami Zura?” tanya Rayyan, berminat dengan cerita mereka. Dia melihat hanya Zura ’bunga’ dalam perbincangan itu.
”Yang sebelah Zura tu Zarul, suaminya. Sebelah Zarul, Along. Sebelah Along tu Fikri. Sebelah Fikri tu, Abang Syukri,”
“Merangkap suami tersayang Yaya!” usik Mysara kemudian dia tergelak kecil. Pipi Yaya sudah kemerah-merahan.
”Kesayangan kau siapa pulak?” Yaya tidak mahu kalah.
”Ops, belum ada lagi. Coming soon,” Mysara tersengih.
”Siapa kesayangan Nana pulak?” tanya Rayyan. Berharap jawapan Nana sama seperti Mysara. Atau nama dia yang disebut.
”Fikri!” sahut Mysara spontan. Nana pula yang malu-malu kucing Parsi. Namun mereka tidak menyedari, wajah Rayyan berubah saat nama Fikri disebut sebagai kesayangan Nana.
*****
‘Kesayangan Nana? Betul ke?’
‘Jangan-jangan Kak Sara main-main je tu,’
’Tapi, kalau betul, macam mana?’
’Ah, diorang takkan kekal lama! Aku berani jamin!’
’Jangan kata kau ada hati dengan Nana tu?’
’Memang! Tak ada siapa boleh miliki Nana selain aku!’
’Kau nak buat apa?’
’Aku nak pisahkan diorang! Jangan panggil aku Rayyan kalau aku tak dapatkan Nana!’
’Kau nak buat apa?’
*****
”Jemput minum, bang,” Pak Long mengangguk. Ekor matanya dilarikan ke pintu bilik Rayyan.
”Dah berapa lama dia macam tu?”
”Sejak balik hari tu, masuk hari ni dah seminggu,” ujar Puan Mahani. Dia risau. Sejak pulang dari program motivasi tersebut, dia hanya berkurung di dalam bilik. Keluar hanya untuk makan. Masa makan pun tidak banyak cakap.
”Kamu ada tanya dia, Ani?”
”Dah, abang. Dia tak jawab pun. Sepatah kata pun saya tak dengar dari bibir dia dari minggu lepas,” Pak Long mengeluh. Bukan ini yang dia harapkan apabila menghantar anak saudaranya ke program tersebut. Dia bangun.
”Eh, abang dah nak balik ke? Cepatnya,”
”Abang nak jumpa dia,”
”Pintunya berkunci, bang. Saya dah cuba,”
Tetapi Pak Long sudah sampai di muka pintu. ”Ayan, buka pintu. Pak Long ni,”
Diam...
“Saya dah kata, bang…,”
“Kamu pergi ambil kunci pendua,”
”Tapi bang…,”
”Sekarang,”
Puan Mahani akur. Terburu-buru dia ke ruang tamu untuk mengambil kunci pendua. Langsung diserahkan kepada Pak Long. Namun belum sempat Pak Long berbuat apa-apa, pintu dikuak perlahan.
Rayyan muncul di muka pintu. ”Pak Long,”
Puan Mahani pandang Pak Long. Pak Long diam, menunggu jawapan dari Rayyan.
”Saya nak belajar agama,”
”Alhamdulilah. Nanti mama carikan ustaz ye,”
”Tak payah. Saya nak belajar dengan Fikri,”
*****
”Fikri?” tanya Mysara. Rayyan mengangguk.
”Tapi kenapa Fikri? Kenapa bukan Zarul, Along atau Syukri?”
’Sebab Fikri kesayangan Nana!’
”Sebab dia nampak alim je masa akak tunjuk hari tu. Mesti banyak ilmunya,”
”Kalau diikutkan, Syukri lebih layak. Dia lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir. Fikri masih belajar di UAI…,”
”Akak, bukan UAI la! UAI tu Ustaz Azhar Idrus!” sampuk Nana tiba-tiba.
”Habis tu?”
”UIA la. Universiti Islam Antarabangsa,”
”Ha, UIA,” Mysara menyebut huruf-huruf itu satu-persatu. ”Kenapa tak nak belajar dengan Syukri je? Along ke, Zarul ke….,”
’Eh kakak ni! Banyak tanya pulak dia! Kenapa Nana bawa kakak ni sekali? Buat semak je!’
”Ala, tak apa la kak. Mungkin dia tak selesa dengan orang dah kahwin kot. Zarul kan suami Zura. Along pulak, Kak Ina baru je kan lepas pantang bersalin anak kedua. Abang Syukri pulak baru je kahwin dengan Kak Yaya. Takkan nak kacau waktu romantik diorang pulak,” bela Nana.
Dahi Mysara berkerut. Rayyan pandang Nana tidak berkelip. ”Lagipun, Fikri sendiri dah setuju. So tak ada masalah,”
”Sebut pasal Fikri, mana dia ni? Kata nak datang sini?” Rayyan berbasa-basi sambil tersenyum.
”Ha, itu dia. Panjang umur dia,”
Senyuman di bibir Rayyan mulai tawar. Bertambah tawar apabila Fikri yang baru tiba, duduk di sebelahnya.
”Jadi….,” Fikri menghulurkan tangannya untuk bersalam. ”Saya Fikri,”
”Rayyan,” huluran tangan disambut. Rayyan cuba memaniskan senyumnya, walau tak terasa keikhlasannya.
’Kau tengok la nanti. Nana akan jadi milik aku!’
Klick Untuk Part 3
Tiada ulasan:
Catat Ulasan