Followers

24 Mei 2013

Rayyan [Part 4 - Last]


Klick Untuk Part 3




“Aku kat mana ni?” pandangan Rayyan masih kabur tatkala dia membuka matanya.

“Ayan … Ayan …,” terdengar sayup-sayup suara Fikri.

Pandangan Rayyan mulai jelas. Dia bingkas bangun apabila melihat kelibat Fikri di sisinya.

“Fik!”

“Ayan tak apa-apa?”

“Fik, Ayan nak minta maaf,”

“Kenapa?”

“Ayan … Ayan ….,”

Rayyan terus terdiam.

“Ada sesuatu yang mengganggu Ayan, kan?”

“Eh, taklah! Mana ada hantu jembalang yang kacau Ayan!”

“Ayan, bila Fik cakap pasal sesuatu, ia tak bermaksud mahkluk-mahkluk halus tu. Ia juga boleh bermaksud sesuatu yang bermain di fikiran Ayan, dan ia menghantui Ayan,”

Rayyan malu sendiri. Dia tunduk.

“Apa, Fik salah cakap ke?”

“Eh, tak! Sebenarnya, betul apa yang Fik cakap tu….,”

“????”

“Sebenarnya…. Ayan …. Ayan …. Ayan tak jujur berkawan dengan Fik,”

“Tak jujur? Maksudnya?”

“Ayan berkawan dengan Fik sebab Nana,”

“Oh, sebab Nana? Kenapa dengan Nana?”

“Ayan rasa tercabar sebab Nana tolak Ayan untuk Fik. Belum pernah ada perempuan yang tolak Ayan. Nana la orang yang pertama yang tolak Is,”

Fikri diam.

“Bila Nana tolak Ayan, Ayan ambil keputusan untuk rapat dengan Fik. Ayan nak cari kelemahan Fik. Selain itu, Ayan nak cari peluang rapat balik dengan Nana. Tapi niat Ayan buruk, sebab tu Ayan tak pernah dapat mendekati Nana. Ayan juga tak dapat cari kelemahan Fik,” Rayyan sudah teresak-esak menangis.

Fikri diam.

“Ayan minta maaf Fik…!!!” Rayyan sudah meraung. Lengan Fikri dipaut erat. Kalaulah Fikri menyuruhnya melutut sebagai syarat untuk dia meminta maaf, dia sanggup!!!!

“Tidurlah. Ayan masih lemah,” ujar Fikri. Wajahnya tidak beriak.

“Ampunkan Ayan …,”

“Baringlah. Fik ambilkan air suam untuk Ayan,” Fikri bangun. Rayyan akur. Dia membaringkan dirinya. Hanya menghantar Fikri ke muka pintu dengan pandangan mata yang sayu. Sebentar kemudian dia terlelap.

“Ayan! Ayan!”

Berat dirasakan kelopak mata Rayyan. Namun digagahnya juga untuk membukanya setelah mendengar suara Puan Mahani yang kedengaran risau.

“Ayan! Abang! Ayan dah sedar!”

Rayyan mula meyedari sesuatu.

“Ayan kat mana ni, mama?”

“Ayan kat hospital, sayang. Ayan dah dua hari tak sedarkan diri. Doktor kata Ayan kurang gula dalam darah. Tu yang Ayan pengsan tu,” jelas Puan Mahani panjang lebar.

Pak Long menyerbu masuk. “Ayan dah sedar ke?”

Rayyan termangu-mangu. “Ma, Fikri mana?”

“Fikri? Dia belum sampai lagi. Dia dalam perjalanan ke sini dari Nilai,”

Rayyan mengerutkan dahi. “Bukan dia ada datang tadi ke?”

“Mana ada dia datang tadi sayang… Dah seminggu dia ke Nilai. Ayan dah lupa ke? Dia kan ada bagitau Ayan haritu… dia ke sana buat persiapan kahwin dengan Nana,”

“Tapi…!” Rayyan terkedu. Adakah dia bermimpi???

*****

“Mungkin ada sesuatu yang tersirat di sebalik semua ni….,” ujar Fikri. Rayyan mengerutkan dahi, tidak memahami apa yang berlaku.

”Sebenarnya, masa kat Nilai, Fik bermalam kat rumah makcik Fik. Satu malam, Fik mimpi. Fik jumpa Ayan dalam mimpi Fik. Ayan terbaring di atas katil. Tak sedarkan diri. Fik cuba kejutkan Ayan. Bila Ayan sedar, Ayan menangis dekat Fik. Ayan bagitau Fik segalanya. Bila Fik sedar, Fik dapat SMS dari Pak Long kata Ayan masuk hospital,”

Rayyan tertunduk. Dia meraup wajahnya perlahan. Sebentar tadi, dia menceritakan pengalamannya ketika koma tempoh hari. Dan apabila Fikri menceritakan pengalamannya pula, Rayyan terkedu.

”Tak mungkin…. tak mungkin mimpi kita sama pada masa yang sama,”

”Kalau ikut logik akal, memang tak mungkin. Tapi kuasa ALLAH tak siapa yang tahu, kan?” ujar Fikri selamba. Dia merenung seketika ke arah tasik di hadapannya.

”SubhanALLAH….,” sebentar kemudian Rayyan terkejut. Pertama kali dia menuturkan pujian terhadap ALLAH itu setelah sekian lama. Dia tunduk. Ada setitik mutiara jernih tumpah dari tubir matanya.

” Ayan,”

Rayyan mengangkat mukanya.

”Mimpi itu menyedarkan saya yang awak ni jujur orangnya. Dan saya rasa awak la yang paling sesuai,” tiada lagi panggilan nama dalam percakapan Fikri.

”Paling sesuai? Maksud Fik?” tanya Rayyan tidak mengerti. Fikri hanya tersenyum tawar.

*****

”Abang, cantik kan baju ni?”

”Cantik, Yang. Yang nak yang ni ke?”

”Erm, tak nak la abang. Mahal sangat. Kita tengok lagi kalau-kalau ada yang murah sikit,kita beli yang murah sikit,”

Rayyan tersenyum. Perancang ekonomi yang bijak! Tak cepat bankrap! Beruntung si suami dapat isteri macam tu, detik hatinya.

Kring! Kring!!

Deringan telefon membantutkan tumpuan Rayyan pada pasangan di hadapannya ini. Cepat-cepat dia menjawab panggilan telefon tersebut.

”Assalamualaikum,”

”Waalaikumsalam, Rayyan,”

”Ye, Pak Long,”

”Fikri masuk hospital. Dia pengsan di taman tadi,”

”Ya ALLAH!! Ayan datang sekarang!” langkah Rayyan terus laju menuju ke tempat letak kereta di mana keretanya diparkir di situ. Sekilas, perbualan di tepi tasik tempoh hari mengusik mindanya.

”Mimpi itu menyedarkan saya yang awak ni jujur orangnya. Dan saya rasa awak la yang paling sesuai,” tiada lagi panggilan nama dalam percakapan Fikri.

”Paling sesuai? Maksud Fik?”

”Rayyan…. saya…. saya tak lama lagi…,”

”Tak lama lagi? Ayan tak faham,”

”Saya sakit, Ayan. Jangka hayat saya tak lama lagi…,”

”Awak jangan main-main, Fikri!”

“Saya tak main-main. Hati saya sudah disahkan rosak. Saya tak boleh hidup lama lagi….,”

”Doktor kata apalagi, Fik?”

Fikri tersenyum pahit. ”Doktor sarankan Fik buat pembedahan pemindahan hati. Tapi Fik rasa itu mustahil. Mana nak cari penderma hati yang sesuai, Ayan. Dah bertahun Fik tunggu….,”

Mengingatkan ayat terakhir Fikri, membuatkan Rayyan segera menekan pedal minyak kereta. Kereta dipandu semakin meluncur laju membelah lebuhraya.

’Fik, tunggu Ayan!’

*****

Pak Long mundar-mandir. Puan Mahani sudah bengkak matanya. Nana tunduk, berzikir bagi mengusir galau di hati.

Sebentar tadi, apabila doktor mengatakan harapan untuk Fikri hidup amat tipis, Rayyan muncul menyatakan hasratnya; mahu menderma sebahagian hatinya untuk Fikri. Puan Mahani dan Nana terkejut. Pak Long apatah lagi. Namun setelah mereka menerima khidmat nasihat doktor, Puan Mahani dengan berat hati membenarkan.

”Kenapa Ayan buat semua ni?” tanya Nana ketika Rayyan sudah mahu diusung ke dewan bedah.

”Sebab Ayan cintakan Nana,”

Nana terkedu.

” Ayan cintakan Nana. Sebab tu Ayan nak tengok Nana bahagia. Ayan tahu Nana sayangkan Fikri, sebab tu Ayan berusaha selamatkan dia. Ayan nak tengok Fikri dengan Nana bahagia,”

Nana tunduk. Air matanya menitis. Dia tidak menyangka semurni itu hati Rayyan. Lelaki yang suatu ketika dahulu pernah singgah di hatinya, lelaki yang suatu ketika dahulu pernah cuba membawanya ke lembah hina, kini sanggup berkorban demi kebahagiaannya.

Tiba-tiba Nana terasa bahunya ditepuk. Dia mendongak dan melihat Zura dan Along di sisinya. Zura duduk, memaut mesra bahu gadis itu.

”Kak Yaya telefon tadi. Dia kata Fikri masuk hospital. Dia dan Syukri dalam perjalanan ke sini dari Singapura. Nana okey?” tanya Zura, perlahan.

”Kakak….,!” Nana terus memeluknya. Air matanya tumpah. Zura membalas pelukan Nana. Belakang badannya diusap perlahan.

”Nana takut kehilangan diorang…!!!”

Zura dan Along berpandangan sesama sendiri. Along yang mengerti pandangan mata Zura, terus mendapatkan Pak Long yang dari tadi resah gelisah.

”Nana, kita kena ingat satu benda je. Kita sayang seseorang macam mana sekalipun, ingat yang ALLAH lebih sayangkan diorang, akan ambil diorang dari kita,” ulas Zura panjang lebar. Sengaja dia menekankan perkataan ’lebih’dalam kata-katanya.

Nana terdiam. Entah macam mana, dia seakan-akan terdengar lagu Rapuh, nyanyian Opick. Tanpa sedar, bibirnya meluncur laju menyanyikan lagu tersebut.

”Meski ku rapuh dalam langkah
Kadang tak setia kepadaMu
Namun cinta dalam jiwa
Hanyalah padaMu…,”

”Maafkanlah bila hati
Tak sempurna mencintaiMu
Dalam dada kuharap hanya
DiriMu yang bertakhta…,”

Zura memaut erat bahu Nana.

”Kita doakan sama-sama,” bisik Zura perlahan. Nana mengangguk. Mereka terus tenggelam dalam zikir dan doa sehinggalah….

”Doktor!” panggil Pak Long apabila melihat seorang lelaki berpakaian serba putih keluar dari dewan bedah. Dia terus meluru ke arah lelaki itu diikuti Along, Puan Mahani, Nana dan Zura.

Lelaki tadi memandang mereka tidak berkelip.

*****

Sedu sedan Nana masih belum berhenti. Suaminya yang baru keluar dari dapur menggeleng perlahan.

”Sayangku, yang sedih-sedih ni kenapa? Tengok Cerekarama je pun,” usik suaminya. Dia ketawa besar apabila dibaling bantal oleh Nana.

”Abang ni, tak sensitif la. Jalan cerita ni sama macam kisah kita dulu. Wataknya pun namanya sama,” balas Nana. Dia memuncungkan mulutnya.

”Kan lebih baik, kalau air mata itu dibazirkan kerana mengingati masa lalu dan kebesaran ALLAH,” tegur si suami. Terus Nana menarik muncungnya.

”Nana minta maaf abang,” Nana bersuara tulus. Si suami hanya tersenyum.

”Ni abang nak tanya ni. Mana pergi kad jemputan kahwin Kak Sara ni? Abang cari tak jumpa pun,”

”Abang ni, kan abang yang selitkan kat Ipad abang tu,”

”Oh ye. Abang lupa,” si suami terus mendapatkan Ipadnya yang diletakkan di meja makan.

”Abang ni, kata orang cengeng. Tapi dia sendiri nyanyuk,” perli Nana. Si suami hanya tersenyum.

”Memang tak sangka kan akhirnya Kak Sara kahwin juga…..,” dan si suami terus bercerita dan bercerita. Ok, itu bukan membebel ye. Itu bercerita.

Nana terdiam. Kata-kata suami mulai dihadam dalam jiwanya. Seketika, fikirannya melayang.

*****

”Doktor!” panggil Pak Long apabila melihat seorang lelaki berpakaian serba putih keluar dari dewan bedah. Dia terus meluru ke arah lelaki itu diikuti Along, Puan Mahani, Nana dan Zura.

Lelaki tadi memandang mereka tidak berkelip.

”Doktor, macam mana keadaan anak saudara saya?” tanya Pak Long laju.

”Er….,”

”Macam mana tunang saya, doktor?” tanya Nana pula.

”Maaf, saya….!” dan spontan Puan Mahani meraung. Nana pula rebah sebelum disambut oleh Zura. Pak Long berwajah sugul.

”Maaf, saya bukan doktor,”

Secara tiba-tiba raungan Puan Mahani terhenti. Nana yang sudah lemah di pelukan Zura mula mengangkat muka.

”Saya cuma atendan. Maaf, saya ada hal lain yang perlu diuruskan,” kata lelaki itu sebelum meminta diri.

”Hesh, bikin suspen je la. Doktornya mana?” Pak Long mula menunjukkan wajah tidak puas hati. Kehadiran seorang lelaki yang muncul tidak lama selepas itu tidak diendahkan oleh mereka. Doktor itu yang hairan dengan situasi itu kemudian berdehem sebelum.. ”Siapa di sini waris pesakit?”

”Awak ni doktor betul ke?” tanya Along selamba. Yang lain masih tidak ambil peduli.

”Awak ingat saya ni doktor main-main ke?” tanya doktor itu kembali. Apabila mendengar kata-kata doktor itu, barulah mereka percaya dan meluru ke arahnya.

”Macam mana?”

Doktor itu tersenyum.

*****

”Nana,” terasa tangan si suami melingkari bahunya. Dia tersenyum melihat wajah si suami begitu dekat dengan wajahnya.

”Isteri abang ni ingatkan siapa?”

”Rayyan,”

Senyuman di wajah Fikri terus mati. Nana tergelak melihatnya.

”Nana teringatkan Rayyan dan Fikri masa pembedahan haritu. Abang cemburu ye?” usik Nana. Merah pipi Fikri diusik begitu.

”Sampai sekarang, Fik rasa terhutang budi dengan Ayan. Bukan hutang budi, tapi hutang nyawa,” ujar Fikri lembut. Pelukannya dieratkan.

”Abang,”

”Iye?”

”Kita ni tak nak pergi kenduri Rayyan dan Kak Sara ke?”

”Eh? Ala, abang lupa la!”

Nyanyuk lagi!

”Tak sangka kan, akhirnya Kak Sara yang jadi pilihan hati Rayyan….,” dan Fikri terus bercerita. Dan bercerita. Dan bercerita. Dan Nana hanya tersenyum melihat ulah suaminya. Fikri.

Siapa sangka kan???




23 Mei 2013

Rayyan [Part 3]

Klick Untuk Membaca Part 2

Hari itu hari minggu. Pagi-pagi lagi, Fikri sudah datang ke rumah Rayyan. Puan Mahani menyambutnya mesra. ”Rayyan mana, makcik?”

”Ada kat dalam bilik tu. Tak tahu la dah bangun ke belum. Fikri minumlah dulu,” Puan Mahani menuangkan secawan kopi untuk Fikri.

”Terima kasih, makcik. Saya dah minum tadi. Erm, boleh saya masuk ke bilik Rayyan?”

”Boleh, silakan. Bilik Rayyan kat hujung sana, sebelah kiri,”

Mendengar keizinan Puan Mahani, Fikri terus bangun menuju ke bilik Rayyan. Pantas diketuk perlahan.

Pintu dikuak malas. ”Ma, kan Ayan dah cakap tadi… eh?” Rayyan muncul di muka pintu dengan rambut yang kusut masai.

Fikri tersenyum. “Ayan kata apa dengan mama Ayan tadi?”

“Er, Ayan kata… Ayan kata… Hah, Ayan kata kejutkan Ayan untuk solat dhuha,” Rayyan mencipta alasan. Sebenarnya untuk menutup kesilapannya.

“Oh…,”

‘Fuh, lega,’

“Subuh tadi solat tak?”

‘Alamak!’

“Er, Ayan solat la. Er…. Lepas solat Ayan tidur balik. Mengantuk sangat,” penipuan tercipta lagi. ‘Nasib kaulah Fikri, kena tipu dengan aku,’ desis hati Rayyan.

Fikri tersenyum. Agak berpuas hati dengan penjelasan Rayyan.

“Jom, kita keluar. Ada sesuatu yang Fik nak tunjukkan pada Ayan,”

“Tunjuk? Tunjuk apa? Kuih tunjuk? Belum nak raya lagi la, Fik,” Rayyan tidak mengerti. Senyuman Fikri semakin melebar.

“Ada la. Cepat siap. Fik tunggu Ayan kat ruang tamu,” Fikri terus ke ruang tamu, meninggalkan Rayyan yang terpinga-pinga di depan pintu biliknya.

‘Nak tunjuk apa dengan aku?’

*****

Dari Central Market, mereka berjalan kaki ke Petaling Street. Kemudian ke Masjid India. Hanya berjalan kaki. Naik lenguh Rayyan berjalan. Fikri terus berjalan tanpa menunjukkan tanda-tanda ingin berhenti. Hesh, tak penat ke dia ni??

“Penat?” tanya Fikri. Rayyan hanya menguntum senyum. Mana mungkin dia hendak mengaku kalah dengan lelaki ini. Jatuhlah sahamnya nanti. Macam mana nak pikat hati Nana balik? Haish….

“Kalau penat, jom kita minun kat medan selera sana,” pelawa Fikri. Pelawaan yang tak mungkin Rayyan tolak. Lantas dia mengangguk. Kebetylan ketika mereka memasuki kawasan medan selera itu, hujan mulai turun dan kemudian melebat.

“Nak minum apa?”

“Apa-apa je la,”

“Kalau macam tu, teh tarik dua,” Fikri membuat pesanan. Rayyan hanya diam. Dia memerhati keadaan sekeliling. Dia melihat seorang wanita terkial-kial membuka payungnya.

“Bang, tolong saya bang…,”

Terkejut Rayyan dengan kehadiran seorang budak lelaki yang tidak disangka-sangka. Wajahnya mendung, rambutnya kusut masai. Pakaiannya compang-camping.

“Nah, dik. Pergi beli makanan ye,” ujar Fikri sambil menghulurkan not RM50 kepadanya. Buntang mata Rayyan apabila melihat tindakan Fikri.

“Bbbb… Banyak sangat ni…,” terketar-ketar budak lelaki itu. Tidak pernah dia mendapat wang sebanyak ini.

“Tak apa dik. Kalau lebih, belanjan kawan-kawan adik yang lain,”

“Terima kasih, bang. Terima kasih sangat-sangat,” budak lelaki tadi terlalu gembiri dengan pemberian Fikri. Cepat-cepat dia berlalu.

“Banyaknya…,” Rayyan terlopong. Tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.

“Tak banyak pun,” Fikri merendah diri.

“Tak terasa kea pa yang kau buat ni membazir?” terpacul soalan itu dari bibir Rayyan. Spontan je. Fikri tersenyum.

“Ayan, memang, secara logiknya, bila kita cuma ada RM100 dalam tangan, kemudian kita sedekahkan atau dermakan RM50, baki yang kita ada cuma RM50. Tapi, satu kebaikan yang dilakukan, diumpamakan seperti sebutir padi, lalu padi itu ditanam. Satu pohon padi bercabang tujuh, masing-masing cabangnya manghasilkan seratus biji. Jadi walaupun baki dalam dompet berkurang, saham kita di akhirat nanti berlipat kali ganda, “ jelas Fikri panjang lebar.

Rayyan diam. Memberi peluang untuk Fikri terus menyambung “Lagipun, setiap harta yang kita miliki bukan milik kita sebenarnya,”

“Eh, kenapa pulak?” Rayyan tidak faham.

“Cuba Ayan tengok kakak yang cuba buka payung tu…,” Fikri menunjukkan wanita yang dilihat Rayyan sebentar tadi.

“Payung tu rosak kot,” Rayyan membuat andaian. Tanpa ditanya. Fikri tersenyum.

“Kalau payung tu betul-betul rosak, macam mana?”

“Kalau rosak, buang la. Beli yang baru,” apa punya soalan si Fikri ni…

“Kalau rosak, buang kan? Tapi, sebelum tu, dia beli dengan duit dari dompet dia kan?”.

Rayyan mengangguk.

“Nampak tak? Walaupun kita beli sesuatu barang dengan duit kita, kalau bukan rezeki kita, ia tetap takkan jadi milik kita walaupun kita telah menggenggamnya. Ia mungkin hilang, rosak, dicuri atau sebab-sebab lain,”

“Er….,” Rayyan buat muka ‘blur’. Nampak sangat dia tidak faham dengan penerangan Fikri.

“Sesuap nasi yang kita makan, takkan jadi milik kita selagi ia tak masuk ke dalam mulut kita. Agak-agak faham tak perumpamaan ni?” tanya Fikri lagi.

“Er… sikit,” jawab Rayyan tulus.

“Macam tu juga dengan jodoh. Pernah kan kita dengar banyak kali, mangsa kemalangan yang meninggal dunia sebenarnya baru beberapa hari menjadi suami isteri. Yang baru bernikah beberapa jam pun ada. Yang mati sebaik akad nikah pun ada,”

Seketika, wajah Nana menari di ruang mata Rayyan.

“Rayyan,”

Wajah Nana berkecai. Diganti dengan wajah Fikri di hadapannya.

“Itu la yang Fik nak tunjukkan kat Ayan hari ni. Kita belajar dari kehidupan. Dengan itu, kita akan lebih hidup,” ujar Fikri. Rayyan diam.

“Rayyan,”

Rayyan memandang wajah Fikri tidak berkelip.

“Fik tahu semuanya,” Rayyan terkejut. Apa yang dia tahu?

“Apa yang Fik cakap ni?”

“Fik tahu, Ayan tak solat Subuh pun tadi. Fik tahu, Ayan tipu Fik tadi,”

Rayyan tambah terkejut. “Aaaaa…. Aaaaa….,”

“Fik tak kisah Ayan tipu Fik sekarang ni. Tapi sekarang ni, Ayan bukan sahaja tipu Fik. Ayan tipu diri sendiri. Lebih teruk daripada itu, Ayan juga tipu Allah,” Wajah Rayyan terus pucat tidak berdarah.

*****

‘Aku tipu diri sendiri?’

‘Bohong la. Mana ada,’

‘Macam mana dia boleh tau yang aku tipu dia?’

‘Kenapa pulak dia nak cakap macam tu pasal aku?’

‘Siapa dia untuk nilai aku siapa?’

‘Aku tak percaya cakap dia!’

*****

Rayyan masih bermalas-malasan di atas katil. Sudah beberapa hari Fikri tidak menghubunginya. Dia rasa bebas seketika.

“Ayan,” panggil Puan Mahani. “Mari makan,”

Lambat-lambat Rayyan keluar dari bilik dan mendapatkan Puan Mahani di meja makan. Rayyan perasan sesuatu di atas meja.

“Beg kertas siapa ni, mama?”

“Apa punya soalan la Ayan ni. Kat dalam rumah ni cuma kita berdua je. Kalau barang tu bukan Ayan punya, dah tentu mama punya,”

“Oh….,” dengan penerangan panjang lebar oleh Puan Mahani, maka terjawablah pertanyaan Rayyan yang cuma lima perkataan itu. Rayyan tersenyum kecil.

“Ala, air basuh tangan lupa pulak nak bawa keluar. Ayan tunggu kejap ye, biar mama sediakan air basuh tangan dulu,” ujar Puan Mahani. Rayyan hanya memerhatikan mamanya yang sudah hilang di balik pintu. Dia kemudian menyelongkar beg kertas itu. Sekeping CD dijumpai.

“CD apa ni? Tak tulis apa-apa pun,”

Laju sahaja langkah kaki Rayyan menuju ke radio yang berada di ruang tamu. Gatal sahaja tangannya memainkan CD tersebut. Sejurus menekan butang PLAY, dia terus menonong ke meja makan.

“Akan datang hari... Mulut terkunci... Kata tak ada lagi…,”

Langkah Rayyan terhenti

“Akan tiba masa... Tak ada suara... Dari mulut kita…,”

Rayyan masih kaku.

“Berkata tangan kita... Tentang apa yang dilakukannya... Berkata kaki kita... Ke mana saja ia melangkahnya…,”

Rayyan seolah-olah tidak merasakan kaki dan tangannya.

“Tidak tahu kita... Bila harinya.... Tanggungjawab tiba….,”

Rayyan hilang imbangan.

“Ayan!!!”

Sayup-sayup Rayyan mendengar suara Puan Mahani

klick Untuk Part 4

22 Mei 2013

Rayyan [Part 2]

Suasana malam itu sungguh hangat. Riuh dengan suara mereka yang hadir untuk menyaksikan perlumbaan haram antara Rayyan dan Daniel. Pertaruhan malam ini juga bukan calang-calang. Selain wang tunai RM3000.00, Daniel mempertaruhkan Sofea sebagai penyedap. Rayyan pula…

Imraan melihat-lihat jam di tangannya. Gelisah yang bertandang sejak tadi masih belum dapat diusir dari hatinya. Manakan tidak, kelibat Rayyan masih belum kelihatan. Jangankan batang hidung, bunyi enjin motosikal yang sering mengaum itu pun masih belum kedengaran.

”Hoi! Kawan lu dah takut ke nak datang? Apa, lutut ada goyang ka?” Daniel mula melakukan provokasi. Kata-katanya disambut oleh gelak tawa rakan-rakannya. Imraan mendengus geram.

”Sabar la! Dia dah nak sampai dah ni!” Mana mangkuk ayun ni tak sampai lagi? Rungut Imraan.

Deruman enjin motosikal yang semakin lama semakin kuat menarik perhatian Imraan. Segera dia menoleh dan tersenyum apabila melihat kelibat Rayyan datang membawa seorang gadis yang tidak dikenalinya, menaiki motosikal kuasa tinggi kesayangannya.

”Turun,” arah Rayyan apabila motosikalnya berhenti betul-betul di hadapan Imraan. Gadis yang memboncengnya tadi hanya menurut tanpa sebarang bantahan.

”Kita kat mana ni?”tanya gadis itu. Dia terpinga-pinga.

”Bro, kau tolong selesaikan dengan mamat tak betul tu sekejap. Aku nak selesaikan awek ni dulu,” ujar Rayyan tanpa mempedulikan pertanyaan gadis itu tadi. Imraan tidak menjawab, hanya menaikkan ibu jarinya dan lantas berlari ke arah Daniel yang mencebik ke arah mereka.

” Ayan ….,”

”Nana, dengar sini. Nana kena tolong Isi,” tidak semena-mena, Rayyan memegang kedua bahu Nana. Pewatakannya terus berubah.

”Tolong apa?” tanya Nana, lurus.

”Tolong Ayan. Kalau Ayan kalah game ni, Nana kena ikut lelaki tu,” ujar Rayyan sambil menunjuk ke arah Daniel yang sedang berbincang dengan Imraan.

”Apa?”

”Please, Nana, tolong Ayan. Demi Ayan. Ini soal maruah Ayan,”

“Kenapa Ayan buat Nana macam ni? Ayan tak sayang kat Nana ke?”

“Sebab Ayan sayang la Ayan minta tolong ni… Nana sayang Ayan kan?”

Nana mengangguk.

“Kalau Nana sayang Ayan, Nana kena buktikan. Tolong Ayan kali ni, boleh?”

Diam. Lama.

”Nana…,”

”Ye la, ye la. Nana tolong,”

Rayyan tersenyum nipis. Seorang lagi kaum Hawa berjaya dirosakkan. Syaitan pun apa lagi, menari-nari kesukaan.

”Rayyan,”

Lamunan Rayyan terhenti. Pantas dia menoleh. ”Pak Long,”

”Termenung jauh nampak? Terkesan dengan input program tu ke?”

Rayyan tunduk malu. Kalau la Pak Long tahu apa yang sedang bermain di fikirannya ketika ini… ”Jom, solat Asar. Diorang dah nak solat jemaah dah tu,” ajak Pak Long. Kemudian dia buru-buru masuk ke dewan apabila iqamat telah berkumandang.

Rayyan melangkah untuk ke tandas untuk mengambil wuduk. Sempat matanya melirik ke dalam dewan, di bahagian saf wanita. Dan dia melihat Nana sedang membantu membetulkan telekung seorang jemaah yang kurang upaya. Secara tiba-tiba, satu perasaan aneh muncul dalam jiwanya.

Perasaan apakah ini??

*****

Program motivasi yang dihadiri Rayyan tamat dengan jayanya. Sebaik selesai, semua peserta bangun dan bersalam sesama sendiri. Bukan hanya bersalam, tetapi berpeluk sekali bagi mengeratkan silaturahim. Yang lelaki dengan lelaki, begitu juga sebaliknya. Rayyan sendiri sebak setiap kali berpeluk dengan peserta lain sambil lafaz selawat dialunkan ke telinganya. Dia rasa… dia rasa… dia rasa lain sangat.

Ekor matanya mencari Nana dan menemui gadis itu sedang berbual dengan dua orang wanita berhampiran pintu masuk dewan. Automatik dia tersenyum. Untuk apa senyuman itu, dia sendiri tidak tahu. Bagaikan ada daya tolakan, kakinya terus melangkah menghampiri mereka.

”Nana,”

Nana pantas menoleh apabila mendengar namanya disebut. Lalu dia tersenyum apabila melihat Rayyan berada di hadapannya.

”Rayyan, kenalkan, ini Kak Yaya, dan ini Kak Sara. Diorang ni alumni dan kakak angkat Nana di sini,”

Yaya dan Mysara menganggukkan kepalanya kepada Rayyan apabila diperkenalkan oleh Nana.

”Ini Rayyan, kawan Nana,”

”Peserta?” tanya Mysara.

Rayyan mengangguk perlahan.

”Alhamdulilah. Jangan serik datang sini lagi. Ada yang dah lima enam tahun jadi alumni pun masih lagi datang sini. Cuba tengok diorang tu…,” Yaya menunjukkan sekumpulan belia yang sedang rancak berbincang sesuatu tidak jauh dari tempat mereka berdiri.

”Zura tu, dari sebelum kahwin dia aktif. Walaupun dia dah ke Korea untuk bekerja dan kahwin dengan Zarul di sana, dia masih lagi turun ke KL bila Along panggil. Sekarang ni bila ada anak, dia ambil keputusan untuk kembali menetap di sini,” ujar Yaya.

”Betul. Along pulak, kisah silamnya digunakan sepenuhnya untuk menyedarkan mereka yang kat luar sana tu, yang hidup ini bukan hanya untuk duit, nama, kuasa atau yang sewaktu dengannya,” sambung Mysara pula.

”Yang mana satu suami Zura?” tanya Rayyan, berminat dengan cerita mereka. Dia melihat hanya Zura ’bunga’ dalam perbincangan itu.

”Yang sebelah Zura tu Zarul, suaminya. Sebelah Zarul, Along. Sebelah Along tu Fikri. Sebelah Fikri tu, Abang Syukri,”

“Merangkap suami tersayang Yaya!” usik Mysara kemudian dia tergelak kecil. Pipi Yaya sudah kemerah-merahan.

”Kesayangan kau siapa pulak?” Yaya tidak mahu kalah.

”Ops, belum ada lagi. Coming soon,” Mysara tersengih.

”Siapa kesayangan Nana pulak?” tanya Rayyan. Berharap jawapan Nana sama seperti Mysara. Atau nama dia yang disebut.

”Fikri!” sahut Mysara spontan. Nana pula yang malu-malu kucing Parsi. Namun mereka tidak menyedari, wajah Rayyan berubah saat nama Fikri disebut sebagai kesayangan Nana.

*****

‘Kesayangan Nana? Betul ke?’

‘Jangan-jangan Kak Sara main-main je tu,’

’Tapi, kalau betul, macam mana?’

’Ah, diorang takkan kekal lama! Aku berani jamin!’

’Jangan kata kau ada hati dengan Nana tu?’

’Memang! Tak ada siapa boleh miliki Nana selain aku!’

’Kau nak buat apa?’

’Aku nak pisahkan diorang! Jangan panggil aku Rayyan kalau aku tak dapatkan Nana!’

’Kau nak buat apa?’

*****

”Jemput minum, bang,” Pak Long mengangguk. Ekor matanya dilarikan ke pintu bilik Rayyan.

”Dah berapa lama dia macam tu?”

”Sejak balik hari tu, masuk hari ni dah seminggu,” ujar Puan Mahani. Dia risau. Sejak pulang dari program motivasi tersebut, dia hanya berkurung di dalam bilik. Keluar hanya untuk makan. Masa makan pun tidak banyak cakap.

”Kamu ada tanya dia, Ani?”

”Dah, abang. Dia tak jawab pun. Sepatah kata pun saya tak dengar dari bibir dia dari minggu lepas,” Pak Long mengeluh. Bukan ini yang dia harapkan apabila menghantar anak saudaranya ke program tersebut. Dia bangun.

”Eh, abang dah nak balik ke? Cepatnya,”

”Abang nak jumpa dia,”

”Pintunya berkunci, bang. Saya dah cuba,”

Tetapi Pak Long sudah sampai di muka pintu. ”Ayan, buka pintu. Pak Long ni,”

Diam...

“Saya dah kata, bang…,”

“Kamu pergi ambil kunci pendua,”

”Tapi bang…,”

”Sekarang,”

Puan Mahani akur. Terburu-buru dia ke ruang tamu untuk mengambil kunci pendua. Langsung diserahkan kepada Pak Long. Namun belum sempat Pak Long berbuat apa-apa, pintu dikuak perlahan.

Rayyan muncul di muka pintu. ”Pak Long,”

Puan Mahani pandang Pak Long. Pak Long diam, menunggu jawapan dari Rayyan.

”Saya nak belajar agama,”

”Alhamdulilah. Nanti mama carikan ustaz ye,”

”Tak payah. Saya nak belajar dengan Fikri,”

*****

”Fikri?” tanya Mysara. Rayyan mengangguk.

”Tapi kenapa Fikri? Kenapa bukan Zarul, Along atau Syukri?”

’Sebab Fikri kesayangan Nana!’

”Sebab dia nampak alim je masa akak tunjuk hari tu. Mesti banyak ilmunya,”

”Kalau diikutkan, Syukri lebih layak. Dia lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir. Fikri masih belajar di UAI…,”

”Akak, bukan UAI la! UAI tu Ustaz Azhar Idrus!” sampuk Nana tiba-tiba.

”Habis tu?”

”UIA la. Universiti Islam Antarabangsa,”

”Ha, UIA,” Mysara menyebut huruf-huruf itu satu-persatu. ”Kenapa tak nak belajar dengan Syukri je? Along ke, Zarul ke….,”

’Eh kakak ni! Banyak tanya pulak dia! Kenapa Nana bawa kakak ni sekali? Buat semak je!’

”Ala, tak apa la kak. Mungkin dia tak selesa dengan orang dah kahwin kot. Zarul kan suami Zura. Along pulak, Kak Ina baru je kan lepas pantang bersalin anak kedua. Abang Syukri pulak baru je kahwin dengan Kak Yaya. Takkan nak kacau waktu romantik diorang pulak,” bela Nana.

Dahi Mysara berkerut. Rayyan pandang Nana tidak berkelip. ”Lagipun, Fikri sendiri dah setuju. So tak ada masalah,”

”Sebut pasal Fikri, mana dia ni? Kata nak datang sini?” Rayyan berbasa-basi sambil tersenyum.

”Ha, itu dia. Panjang umur dia,”

Senyuman di bibir Rayyan mulai tawar. Bertambah tawar apabila Fikri yang baru tiba, duduk di sebelahnya.

”Jadi….,” Fikri menghulurkan tangannya untuk bersalam. ”Saya Fikri,”

”Rayyan,” huluran tangan disambut. Rayyan cuba memaniskan senyumnya, walau tak terasa keikhlasannya.

’Kau tengok la nanti. Nana akan jadi milik aku!’

Klick Untuk Part 3

21 Mei 2013

Rayyan [Part 1]

“Apa ma??” Rayyan membeliakkan matanya. Tidak percaya dengan apa yang didengarnya.

”Betul ke apa yang Ayan dengar ni?”

”Betul, sayang. Ayan kena pergi kursus tu. Pak Long dah pun daftarkan nama Ayan,” kata Puan Mahani lembut. Dalam hatinya berkocak kerisauan. Risau kalau-kalau anak tunggalnya itu enggan mendengar katanya, seperti selalu.

”Ala, kursus yang Pak Long pergi bulan lepas tu ke? Yang mama ikut sekali tu?” Puan Mahani mengangguk perlahan.

”Ayan tak nak pergi la, mama. Mesti ramai orang tua je yang pergi. Ayan kan muda lagi. Ayan nak enjoy lagi. Ayan tak mahu pergi la, ma,” Rayyan memberikan alasan. Mana tidaknya, kursus tersebut diadakan di hujung minggu dan pada hujung minggu tersebut, dia sudah punya rencana besar dengan Imraan. Dia mahu berlumba sekali lagi dengan Daniel, musuh ketatnya.

”Jangan la macam tu Ayan …. Pak Long dah daftarkan nama Ayan …,” pujuk Puan Mahani lagi.

”Tak mahu la mama….. Ayan ada plan lain masa tu,”

”Plan apanya kalau nak berlumba haram je??” Pak Long yang dari tadi diam membisu, akhirnya bersuara. Rayyan terkejut. Dia terlupa, bahawa Pak Long turut berada di ruang tamu. Hesh aku ni, orang tua sebesar-besar alam aku boleh tak perasan, sempat lagi Rayyan mengutuk dalam hati.

”Kamu betul tak nak pergi?” tanya Pak Long lagi. Dia bangun dari duduknya. Berjalan perlahan menghampiri Rayyan yang berdiri membatu di sisi Puan Mahani yang semakin resah. Resah kerana kedua-duanya kepala batu.

Rayyan diam. Dia tahu, kalau Pak Long mula bersuara, bermakna segala patah kata yang keluar dari celah bibirnya adalah mandatori. Tak ada sesi rayuan lagi dah.

”Kalau kamu tak nak pergi, senang je. Tu, motor kamu yang tersadai kat depan tu. Aku jual,”

”Pak Long tak boleh buat macam tu!!”

“Boleh. Aku boleh. Kau dah lupa, motor tu dibeli atas nama siapa? Nama aku kan?? Tu, malam tadi, masa kau kena tahan sebab berlumba haram, siapa yang jamin?? Kawan-kawan kau?? Bukan, kan?? Aku jugak kan??”

Rayyan mendengus. Dia tidak suka bila Pak Long mula mengungkit-ungkit begitu. Namun apakan daya, segala apa yang dikatakan itu benar belaka.

”Kau cuma ada dua pilihan, Rayyan. Sama ada kau ikut aku hujung minggu ni, atau motor kau tu aku jual,” kata Pak Long lagi. Dia kemudian melangkah keluar. Rayyan mendengus kasar.

” Ayan …,” panggil Puan Mahani takut-takut.

” Ayan tak nak cakap apa-apa, Ayan tak nak cakap dengan siapa-siapa,” Rayyan mencapai topi keledarnya dan terus melangkah masuk ke bilik. Pintu bilik dihempas kuat. Puan Mahani bingkas bangun, mendapatkan Pak Long yang sedang menghidupkan enjin kereta.

”Abang…,”

”Aku dengar,” potong Pak Long. ”Dia melawan lagi kan? Biarkan dia. Satu hari nanti, dia akan sedar, apa yang kita buat ni adalah untuk kebaikan dia juga,”

”Tapi kalau dia tak nak dengar cakap kita kali ni?”

”Aku kenal anak saudara aku tu. Dia sayang motor dia lebih dari segala-galanya. Dia mesti pergi. Kan aku dah ugut nak jual motor dia,”

Puan Mahani diam. ”Sudahlah, jangan risau lagi. Aku balik pejabat dulu,” Pak Long terus meloloskan diri ke dalam kereta.

Rayyan yang mengintai dari dalam biliknya mendengus kasar. Dirasakan tindakan Pak Longnya kali ini sangat tidak adil. Apa sahaja yang dilakukan oleh lelaki tua itu memang tak pernah adil di matanya. Topi keledar terus keledar terus keledar terus keledar terus keledar terus keledar terus dilemparkan di atas katil. Terguling-guling topi keledar itu di atas katil. Rayyan tidak peduli. Telefon bimbit di dalam poket seluar diseluk lalu dikeluarkan. Laju dia menekan punat di telefon bimbit itu.

’Wei, aku tak boleh datang malam minggu ni. Pak Long aku suruh aku ikut dia. Kalau tak, motor aku dia jual,’ Mesej dihantar kepada Imraan. Selang seminit mesejnya berbalas.

’Rugi kau kali ni, bro. Game kali ni bukan sebarangan. Hadiahnya bukan hanya RM5000.00, penyedapnya pula Maria yang cun tu,’ Rayyan menjerit marah. Telefon bimbit dihempas ke dinding. Kenapa Pak Long dan mama buat aku macam ni???

*****

Orang ramai mula berduyun-duyun tiba di ruangan dewan tempat program motivasi dijalankan. Rayyan turun dari kereta dengan penuh rasa malas. Kalau bukan kerana ugutan Pak Long yang beria-ia mahu menjual motornya, Rayyan takkan menjejakkan kaki ke sini. Pagi-pagi begini, biasanya dia masih terlena di atas katil.

”Kau pilih. Sama ada kau ikut program tu atau motor kau aku jual,” terngiang-ngiang sahaja kata-kata itu di cuping telinganya.

”Rayyan,”

Rayyan menoleh. Dia melihat Pak Long. Lupa sebentar dia, Pak Long yang menghantarnya tadi. Sebagai alumni yang pernah menyertai program ini, Pak Long boleh datang secara percuma untuk terus mengikuti program itu. Lebih dari itu, dia ingin memastikan yang Rayyan tidak melarikan diri dari program itu. Pak Long faham sangat dengan perangai Rayyan yang sukar diduga itu.

”Kau pergi daftar dulu. Pak Long nak cari parkir kereta kejap,” ujar Pak Long. Rayyan hanya mengangguk tanpa kata. Dia terus ke kaunter untuk mendaftar.

”Selamat pagi. Boleh saya bantu?” Rayyan tergamam. Suara gadis yang menyapanya seakan dikenalinya. Perlahan dia menoleh dan….

”Eh, Rayyan!!”

”Nana?” Rayyan segera mengenali gadis itu.

”Apa Nana buat di sini?”

”Apa Ayan buat di sini? Ayan jadi peserta ya untuk program kali ni?” tanya Nana ramah. Langsung tidak dipedulikan soalan Rayyan sebelum ini.

Rayyan hanya mengangguk malu. Baginya, satu dosa besar menyertai program motivasi seperti ini yang bukan jiwanya. Dunianya hanya di atas tar, sosial dan perempuan. Malah Nana ini pun….

”Alhamdulilah, gembira Nana dengar. Enjoy this program. It’s very interesting. Nana masuk dalam dewan dulu,” ujar Nana.

“Er, Nana..,” Langkah Nana terhenti.

“Er… you’re getting prettier,”

Nana tersenyum. “Alhamdulilah. Thanks,”

Rayyan merasakan dia sudah jatuh cinta… buat kali kedua? Entah!

Rayyan [Part 2]

17 Mei 2013

Hoo Hoo



3 Years Single. 2 Month Couple and now 10 Month Single


Susah kita nak cari Gadis yg benar-ii Jujur & Ikhlas m'nerima kita .
Dia nak kita Jujur , sedangkan dirinya tak Jujur .
Sometime bila kita cuba belajar utk Setia tapi diri kita sendiri d'permainkan tak guna juga .
So dari situ la ia m'buatkan diri saya taKut Untk BercintA

07 Mei 2013

PRU13 : BLACK 505



Assalamualaikum warahmatullahiwabarokatuh dan salam sejahtera…
 


PRU 13 baru sahaja selesai, semua rakyat Malaysia telah mengetahui keputusanya, samada ia adalah keputusan yang cukup adil lagi telus ia cerita lain,yang penting keputusan telah pun muktamad sebaik saja diumumkan oleh SPR lewat tengah malam 05 Mei 2013.

Keputusan yang akan mengukir satu lagi sejarah hitam lagi pekat betapa SPR dan PDRM telah dengan jayanya kerjasama yang begitu akrab sekali sesama mereka melakukan sekongkolan, untuk memenangkan sekumpulan penyangak dan lanun mendapat mandat untuk terus melanun sehinga tempoh mandat berakhir.

Pihak Yang Menang….

Pihak yang menang bersorak gembira walaupun dihati kecil mereka tahu kemenangan itu adalah hasil tipu muslihat oleh kadham mereka SPR dan PDRM. Mengikut hukum hakam agama yang mudah, setiap sesuatu yang diperolehi dengan cara yang tidak sah wa’ima menipu dan sebagainya adalah “HARAM”, dan segala hasil gaji atau pendapatan darinya juga adalah “HARAM” yang akan disuapkan ke mulut isteri dan anak anak di rumah.

Maka hasil dari pendapatan yang “HARAM” apabila dimakan oleh isteri dan anak, maka hati menjadi keras, menjadikan mereka susah untuk melihat antara yang Haq atau Bathil, boleh dilihat oleh mata kebanyakkan anak anak kumpulan lanun ini baik lelaki atau perempuan akhlak mereka rosak.

Pihak Yang Kalah…
  
Bagi pihak yang kalah apakah yang anda fikir?......menyesali kekalahan?....meratapi kekalahan?.....atau mencari kesalahan rakan pakatan sebagai asas untuk meletakkan salah kekalahan itu pada pihak lain?..... janganlah buat lawak bodoh yang akan ditertawakan oleh anak anak kecil dijalanan, di ketawakan oleh Mat Rempit dan juga Mat Pit di Lorong Haji Taib.

Sebaiknya bangkitlah dengan pantas, bukan masa untuk saling menuduh meletakkan salah pada pihak lain, sebaliknya ambil tanggungjawab bersama memikul bersama kekalahan yang dialami, kekalahan ini bukanlah kekalahan sebab tidak mendapat undi rakyat, ia hanyalah kekalahan strategi yang mana anda semua memang bijak, untuk bermain strategi dengan orang orang bijak anda semua memang bijak, tabik untuk itu.

Akan tetapi anda lupa yang anda sedang bermain strategi dengan sekumpulan penipu dan pemutar belit yang cukup licik dalam hal menipu, bagi rakyat anda semua belum cukup bijak untuk berhadapan bermain strategi dengan kumpulan penipu ini. Juga anda lupa yang lawan ditentang ini umpama perlawanan 3 lawan 1000. Seluruh jentera kerajaan termasuk SPR dan PDRM merupakan halangan halangan yang menjadikan anda takkan menang walau sampai bila bila pun.

Tak perlulah bercakap dengan mereka bab “HALAL atau HARAM” sebab mereka takkan peduli pun, apa lagi usaha untuk memertabatkan Islam bahkan Hukum Islam yang terkandung sama Hudud, Qisas dan Takzir. Pernahkah mereka setuju usul memertabatkan Islam itu sendiri melainkan mereka mencemuhnya dan memutar belitkan untuk kepentingan politik.

Sedang pun anda semua tahu POLITIK itu sendiri, tiada berkitab, tiada berhukum, tiada berperaturan, malah jika perlu mereka juga akan mencabut nyawa lawan politik bila perlu. Adakah anda masih berfikir hendak menghadapi mereka dengan cara berheman menggunakan kepintaran dan mengharapkan mereka jujur dalam berpolitik?.....kesilapan ini lah yang memerangkap anda semua.

Sejak 2004, 2008 dan kini 2013, modus operandi kumpulan penipu ini menang dengan cara sama setiap PRU, menipu dan muslihat yang licik, mana mungkin anda semua tahu Modus Operandinya dan tidak mempunyai daya kreatif mengatasinya , ia agak melucukan; Peti undi jatuh dari Helikopter ,Peti undi lambat sampai, ulang kira melebih 3 kali, Peti undi dihantar menggunakan Teksi dan palin lawak ‘Black Out” seperti tajuk artikel ini. 

Sebenarnya tak selicik mana pun, cumanya anda tak terfikir atau agak lembab memikir menggunakan strategi menghadapi penipu, perlu dengan cara jangan buka ruangan untuk menipu itu sendiri.

Kalau anda tak mampu berfikir bagaimana menghadapi penipu ini, di sini saya cadangkan beberapa perkara untuk panduan bagi menghadapi puak penipu ni pada masa akan datang, saya percaya jika dilaksanakan sekurang kurangnya pintu pintu penipuan dan putar belit mereka Berjaya ditutup kalau pun tidak 100 peratus.

SENARAI PENGUNDI UNDI POS DAN UNDI MANUAL.

Adakah calun calun DUN atau PARLIMEN yang bertanding mendapat salinan lengkap senarai nama pengundi pos dan manual yang termasuk dalam senarai kawasan mereka dari SPR?...

Jika tidak, selepas ini pastikan anda mempunyai senarai ini sebelum PRU dijalankan, dan senarai ini mestilah sama dan disahkan oleh SPR dari salinan yang sah dan terkini berserta jumlah yang tepat. Pihak SPR bertanggungjawab mengemaskini senarai ini terutama ketika musim PRU.

Senarai ini juga wajib dipamerkan untuk semakan awam, selain akses di laman web SPR sendiri, bagi pengundi yang menemukan senarai nama mereka tercicir atau hilang, pengundi boleh membuat pembetulan melalui laman web SPR yang bersifat Auto Generate. 

Tujuan utama usul ini adalah setiap calun DUN atau PARLIMEN mengetahui sepenuhnya dengan lengkap siapakah pengundi serta jumlah pengundi yang berada di dalam kawasan mereka, dan para pengundi mengetahui dan mengesahkan nama mereka terdapat di dalam senarai.

PROSES PENGIRAAN UNDI.

Bagi menutup sepenuhnya ruang penipuan dan manipulasi undi, kertas undi perlu dikira di pusat mengundi itu sendiri, membenarkan proses sedia ada dengan memindahkan kertas undi ke Pusat Penjumlahan hanyalah lebih kepada membuka ruang penipuan oleh SPR sendiri hasil arahan kuasa ghaib.

Kertas undi perlu terus dikira sebaik sahaja masa pengundian tamat di pusat membuang undi, dihadiri calun atau wakil calun. Keputusan undian perlu disahkan oleh Pegawai SPR di pusat mengundi dan disediakan dalam beberapa salinan ( mengikut jumlah calun bertanding ) dan selepas itu disatukan di satu tempat ditetapkan untuk perjumlahan muktamad.

Di pusat perjumlahan muktamad, semua salinan keputusan undian disatukan menjadi jumlah besar sambil menunggu peti undi pos tiba. Masa menunggu undi pos mestilah ditetapkan, supaya tidak timbul lagi selepas itu ketibaan undi pos lain,atau berlaku “Black Out” untuk menyeludup peti undi pos haram yang haram jadah.

PENGIRAAN UNDI POS.

Sebelum peti undi pos dibuka, perlu disemak terlebih dahulu senarai jumlah undi pos yang dimiliki oleh setiap calun dan SPR sendiri, setelah selesai, peti undi pos boleh dibuka dan dikira terlebih dahulu berapakah jumlah undi pos yang terdapat di dalam peti undi tersebut. 

Ketika ini boleh dipadankan dan dimuktamadkan jumlah undi pos dan senarai yang ada untuk direkodkan. Kemudian SPR boleh mengumumkan bahawa undi pos telah sampai dengan jumlah sekian sekian dan selepas ini tiada lagi undi pos boleh masuk dan akan ditolak jika ada.

Kemudian barulah pengasingan undi untuk pengiraan dilakukan serta dicampur dengan keputusan undi manual tadi untuk jumlah penuh. Boleh juga keputusan diasingkan bagi DUN A dan PARLIMEN A jumlah undi pos xxxxxxx mewakili x peratus dan jumlah undi manual xxxxxx mewakili x peratus dicamporkan menjadi XXXX bersamaan xx peratus, mudah tak?........

Ada tak lagi ruang untuk SPR menipu atau ruang untuk Black Out, tepuk dada Tanya selera….

Akhir kalam Assalamualaikum wbt…

04 Mei 2013

PRU13 : Kuda

Alkisah seekor kuda….



Kuda ini cantik dan mempunyai banyak kualiti yang dipuji. Namun kuda tidak berpuas hati, kuda merasakan dirinya tidak cukup sempurna, terutama kecantikan luarannya…

Kuda berkata pada penciptanya…. “Saya bersyukur saya telah diberi kecantikan dan nilai-nilai yang baik… tapi saya mengharapkan Tuan boleh menjadikan saya lebih cantik. Saya akan lagi bersyukur, amat bersyukur jika Tuan boleh menjadikan saya lebih cantik…”

Pencipta membalas, “Saya sedia memjadikan anda lebih cantik… beritahu apa yang anda harap bertukar…”

Kuda tersebut berkata, “Saya rasa badan saya tak seimbang. Leher saya terlalu pendek… jika tuan boleh panjangkan leher saya sikit, bahagian atas badan saya akan nampak lebih elok. Dan kalau tuan boleh panjangkan dan kuruskan sikit kaki saya… saya akan nampak lebih menawan di bahagian bawah badan saya…”

Tuan tersebut menyuruh kuda menutup mata untuk 30 saat….

30 saat berlalu, kuda pun membuka mata… lalu melihat cermin di depannya…

Kuda terkejut… siapa unta itu?

Melihat pada penciptanya kuda (yang kini menjadi unta) merungut, “Tuan, saya nak jadi lebih cantik menawan. Bagaimana rupa luar sebegini boleh dikira sebagai cantik dan menawan.”

Penciptanya membalas, “Itu yang anda mahukan, itu yang saya buatkan…”

Kuda (yang kini menjadi unta) itu menangis, “Ini bukan yang saya nak. Saya tak nak jadi unta. Saya nak kekal sebagai kuda. Sebagai kuda, semua orang puji saya mempunyai kualiti nilai yang baik… tiada yang akan menghargai saya sebagai unta…”

Pencipta itu menjawab:

“Jangan cuba untuk mencapai dan menerima lebih daripada apa yang kurniakan pada anda. Jika anda sentiasa ingin hidup memuaskan nafsu, setiap waktu anda akan meminta lebih dan lebih… Anda tidak tahu apa kesan pada akhirnya. Anda merayu untuk panjangkan leher dan kaki, inilah apa yang berlaku.

Semua benda yang dicipta saya ada kualitinya sendiri… Ya, unta tidak secantik kuda, tapi ia boleh membawa beban yang banyak dan mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi.”

Mulai hari itu, kuda (yang kini menjadi unta) berubah dan menjadi seekor unta yang baik sehingga dipuji ramai sebagai haiwan yang meringankan beban manusia untuk bergerak sana sini.

Walaupun ini sekadar cerita dongeng … tapi di dalamnya banyak isi tersirat di dalamnya, hanya yang membuka mata hati dan ingin belajar akan mendapatnya…

Senyum

#Esok Mengundi